Lonjakan harga minyak umpama pedang bermata dua, kata ahli ekonomi

Lonjakan harga minyak umpama pedang bermata dua, kata ahli ekonomi

Ahli ekonomi berkata, syarikat minyak dan gas akan mendapat keuntungan besar tetapi ekonomi negara terdedah pada peningkatan inflasi dan gangguan bekalan.

Ketegangan di Asia Barat menyebabkan harga mentah dunia melonjak sejak beberapa minggu lalu. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Lonjakan harga minyak mentah baru-baru ini akibat ketegangan di Asia Barat merupakan berita baik bagi syarikat minyak dan gas Malaysia, kata ahli ekonomi.

Bagaimanapun, harga minyak yang tinggi juga umpama pedang bermata dua yang berpotensi mencetuskan semula inflasi dan kadar faedah lebih tinggi yang boleh mengganggu ekonomi global serta Malaysia.

“Secara global, setiap krisis geopolitik adalah berita baik bagi syarikat minyak dan gas (O&G) kerana harga eksport cenderung meningkat,” kata ahli ekonomi dari Universiti Monash Malaysia, Niaz Asadullah.

Beliau berkata gergasi O&G seperti Petroliam Nasional Bhd (Petronas) akan mendapat manfaat daripada keuntungan tinggi hasil kenaikan harga minyak.

Ini akan diterjemahkan dalam dividen lebih tinggi untuk kerajaan, tetapi ia disusuli subsidi lebih tinggi bagi petrol dan diesel.

Sebaliknya, kata Niaz, serangan Israel terhadap Iran menyebabkan kos pengangkutan meningkat kepada tahap mengganggu, memberi kesan buruk terhadap jumlah eksport dan import tempatan.

“Selain peningkatan harga minyak, kita perlu mengambil kira kesan kedua konflik terhadap kos perkapalan bagi negara seperti Malaysia di mana 90% perdagangan adalah maritim,” katanya kepada FMT Business.

“Kita melihat penurunan 50% dalam perdagangan melalui Terusan Suez dalam dua bulan pertama 2024 berbanding tahun sebelumnya. Saya menjangkakan penurunan lanjut dan seiring peningkatan dalam kadar penghantaran laut jika krisis perkapalan Laut Merah berterusan.

“Senario terburuk melibatkan risiko kemelesetan global – peperangan lebih meluas hanya akan meningkatkan ketegangan geopolitik dan gangguan kepada rantaian bekalan.”

Hujung minggu lalu, Iran melancarkan ratusan dron dan peluru berpandu dalam serangan balas selepas Israel menyerang kedutaannya di Syria pada 1 April lalu.

Jumaat lalu, terdapat laporan serangan dron disyaki dari Israel terkena satu lokasi di Iran. Setakat ini, Iran tidak mendedahkan sebarang rancangan serangan balas terhadap Israel.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.