
Sambil menjelaskan apa berlaku kepada parti sebagai ujian, presiden Umno mengingatkan ahlinya perbezaan kecil antara komponen parti mentadbir kerajaan tidak harus diperbesarkan.
Beliau turut mengingatkan Umno mesti memperaga “cara berkerajaan” dan wajib pertahan kerajaan perpaduan baik di peringkat pusat atau negeri.
“Sebab saya sebut kita tidak ada DNA pembangkang. Ya, kita sekarang melutut di tepi gantang, agak terpinggir sekarang, tapi ini bukan di penghujung usia politik kita, dunia bukan nak kiamat ini kita sedang diuji, daya tahan, daya juang daya saing harus ada pada kita.
“Soalnya kita sebahagian daripada kerajaan, ingat Umno hanya ada 26 kerusi, empat lagi rakan komponen, BN semuanya 30 kerusi.
“Ada parti 40 kerusi di Parlimen, berapa menteri, empat, berapa kerusi kita, 26, menteri tujuh…adakah tidak bersyukur, perdana menteri terus beri pengiktirafan kepada Umno dan BN,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Aidilfitri Umno Hulu Selangor, di MRSM Kuala Kubu Bharu.
Zahid, yang juga timbalan perdana menteri ketika mengulas lanjut, berkata Umno perlu beradaptasi dengan budaya baharu kerana menjadi sebahagian dalam kerajaan perpaduan, yang disifatkan “sudah tentu mempunyai masalah di peringkat awal”.
“Di peringkat awal…ya ada kekurangan, jangan berkecil hati, nak minta banyak kena menang banyak baru ada suara dapat banyak, ini menang ciput nak minta banyak apa hal. Saya yakin di Hulu Selangor, bekerja keras, dan kerja dengan kebijaksanaan,” katanya.