Bekas KPN Hanif Omar meninggal dunia

Bekas KPN Hanif Omar meninggal dunia

Beliau dilaporkan meninggal dunia sekitar 2.15 pagi tadi.

Hanif Omar adalah ketua polis negara selama 20 tahun dari 1974 hingga 1994.
PETALING JAYA:
Bekas ketua polis negara, Hanif Omar meninggal dunia awal pagi tadi.

Berita pemergian Hanif, 85, disahkan anaknya Abdul Rahmat Omar dalam satu pesanan ringkas kepada media.

“Saya Abdul Rahmat Omar Mohamed Hanif ingin memaklumkan pemergian pulang ke Rahmatullah ayahanda kami yang dikasihi Hanif Omar sekitar 2.15 pagi tadi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata beliau dan timbalannya Ayob Khan Mydin Pitchay serta seluruh warga polis menzahirkan ucapan takziah buat keluarga Hanif.

Menurutnya, jenazah Hanif akan disolatkan di Masjid Negara sebelum dikebumikan di Makam Pahlawan.

Hanif dilantik sebagai ketua polis negara keempat pada 1974 hingga 1994. Beliau berusia 35 tahun ketika itu.

Beliau adalah ketua polis negara paling lama berkhidmat iaitu selama 20 tahun.

Dilahirkan di Teluk Intan, Perak, Hanif adalah pegawai polis muda yang memegang beberapa jawatan tinggi dalam pasukan keselamatan itu.

Beliau dilantik sebagai ketua polis Melaka pada 1970, kemudian ketua polis Selangor pada 1971.

Pada 1973 Hanif dilantik sebagai timbalan ketua polis negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.