
Pejabat Ketua Menteri Melaka dalam kenyataan berkata, Zaidi, 54, rebah di kediaman rasminya sebelum dibawa ke hospital itu dengan ambulans, lapor Bernama.
Walaupun diberi bantuan pernafasan oleh pasukan paramedik, beliau disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital pada kira-kira 8.15 pagi, menurut kenyataan itu.
Jenazah telah dimandi dan dikafankan di Hospital Melaka kira-kira pukul 9.30 pagi sebelum dibawa ke Masjid Al-Azim untuk solat jenazah.
Jenazahnya kemudian dibawa ke kediamannya di Batu 22, Kampung Tebong di Alor Gajah, dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tebong selepas solat Jumaat.
Zaidi meninggalkan isteri, Siti Rohaya Kamalludin, dan empat anak.
Zaidi mula berkhidmat dengan kerajaan negeri Melaka pada 2017 sebagai pengarah tanah dan galian negeri. Beliau kemudian menjadi pegawai kewangan negeri di Jabatan Kewangan dan Perbendaharaan Negeri Melaka pada 2020.
Beliau dilantik sebagai setiausaha kerajaan negeri Melaka ke-29 pada 5 Jan 2022.
Sementara itu, mewakili pentadbiran kerajaan negeri mengucapkan takziah kepada keluarga Zaidi, Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh berkata, beliau cukup terkesan dan amat berdukacita atas pemergian Zaidi.
“Pemergiannya dalam waktu yang singkat merupakan suatu kehilangan besar kepada seluruh warga perkhidmatan awam khususnya di Melaka kerana jasa dan sumbangannya cukup besar kepada kerajaan negeri sepanjang perkhidmatan,” katanya.