
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan hari ini sebulat suara menolak kebenaran untuk Khairi merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang dibuat pada 24 Jan.
Pengerusi panel, Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim berkata, Mahkamah Tinggi telah menggunakan budi bicaranya untuk mengesahkan perintah majistret.
Ahmad Zaidi bersidang bersama Hakim Azmi Ariffin dan Noorin Badaruddin ketika mendengar permohonan kebenaran itu.
Pada 17 Jan, seorang majistret di Kuala Lumpur mengenakan perintah larangan suara itu sebagai sebahagian daripada syarat pembebasan Khairi dengan ikat jamin, yang mengaku tidak bersalah atas tuduhan dengan sengaja melukakan perasaan agama orang lain.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Parvin Hameedah Natchiar manakala Zaid Malek mewakili Khairi selaku peguam.
Dalam permohonannya, Khairi berhujah bahawa perintah larangan itu menyalahi undang-undang dan menyekat kebebasan bersuara.
Khairi dan penerbit filem itu, Tan Meng Kheng didakwa di dua Mahkamah Majistret berasingan pada 17 Jan atas tuduhan melukakan perasaan agama orang lain menerusi filem yang diterbitkan tahun lepas itu.
Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
“Mentega Terbang” ialah sebuah filem “indie” mengisahkan konflik dihadapi oleh seorang remaja Islam bernama Aisyah, yang meneroka agama lain terutamanya untuk mencari jawapan tentang kehidupan selepas mati.
Filem yang ditayangkan menerusi platform penstriman dalam talian itu dikritik atas beberapa adegan yang dikatakan bertentangan dengan ajaran dan akidah Islam.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan filem itu pada 1 Sept tahun lepas.