Ada langkah lebih praktikal, pakar ulas cukai kekayaan parti sosialis

Ada langkah lebih praktikal, pakar ulas cukai kekayaan parti sosialis

Ahmed Razman cadang skop CGT diperluaskan manakala Barjoyai Bardai berkata sistem hari ini 'sangat tertumpu' pada M40.

Ahmed Razman (kiri) berkata CGT pada masa kini hanya ke atas transaksi tertentu manakala Barjoyai Bardai mencadangkan usaha serius untuk merombak sistem percukaian.
PETALING JAYA:
Cadangan cukai kekayaan ke atas golongan kaya dikatakan kurang praktikal, kerana kebanyakan hasil kekayaan mereka bukan dalam bentuk pendapatan gaji sebaliknya melalui aset kekal seperti hartanah, barangan mewah, dan aset lain seperti ekuiti dan bon, menurut pakar ekonomi.

Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School berkata terdapat langkah lain yang lebih praktikal untuk meningkatkan hasil cukai seperti memperluaskan skop cukai keuntungan modal (capital gain tax atau CGT) selain cukai barang bernilai tinggi (high-value goods tax atau HVGT).

“Pada masa kini, CGT hanya ke atas transaksi tertentu sahaja,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas cadangan Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia, S Arutchelvan, yang dipetik Malaysiakini sebagai menggesa cukai kekayaan diperkenalkan, berikutan laporan bahawa 50 orang terkaya di Malaysia meningkatkan kekayaan mereka.

Menurutnya, pembiayaan daripada cukai itu boleh disalurkan ke arah menaik taraf hospital awam, membina rumah mampu milik dan skim pencen untuk warga emas.

Dilaporkan senarai 50 Terkaya Malaysia Forbes 2024 mendedahkan bahawa kekayaan kolektif taikun tempatan meningkat 2% kepada USD83.4 bilion (RM399.5 bilion) daripada USD81.6 bilion (RM376.2 bilion) tahun lalu.

Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak pula berkata mengenakan cukai ke atas orang kaya mungkin sukar sekiranya individu berkenaan tidak menetap di Malaysia.

Merujuk kepada pengalaman United Kingdom, katanya, banyak orang kaya berpindah ke negara lain apabila cukai kekayaan dikenakan.

“Ini menyebabkan satu kehilangan kepada negara,” katanya, dan menambah kerajaan perlu cari keadah untuk mencukai orang kaya dengan cara yang mudah dan berkesan.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan kerajaan perlu adakan satu usaha yang serius untuk merombak sistem percukaian kerana sistem hari ini “sangat tertumpu” pada kumpulan M40.

“M40 inilah yang merasa beban cukai paling besar,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.