
Noh Omar pernah menjadi Ahli Parlimen Tanjong Karang selama enam penggal sejak 1995, namun digugurkan Umno pada PRU15 dan dipecat parti, Januari tahun lalu. Kawasan itu kini diwakili Dr Zulkafperi Hanapi yang menyokong Anwar.
Annuar, bekas setiausaha agung Umno yang kini bersama PAS juga tidak dicalonkan mempertahankan Parlimen Ketereh, dimenangi calon PN Khlir Mohd Nor dari Bersatu.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar menjangkakan kedua-duanya dalam radar PN untuk diletakkan sebagai calon kerana pengalaman serta ketokohan mereka.
Menurutnya, Noh mungkin boleh dicalonkan di Tanjong Karang manakala Annuar di dua kerusi di Kelantan iaitu Gua Musang dan Jeli,- dua penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim dan Zahari Kechik turut menyokong pentadbiran Anwar.
“Tetapi kalau bertanding di Gua Musang (nak menang) kena ada pengaruh Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah),” katanya kepada FMT dengan menegaskan faktor Ku Li masih penting walaupun beliau tewas tipis kepada Azizi pada PRU15.
“Dengan melihat prospek PN akan meletak tokoh gergasi ini, sudah pasti menyukarkan Umno merampas kembali kerusi dari PN,” katanya mengulas pandangan Ketua Penerangan PAS Fadhli Shaari bahawa Umno mampu rampas enam Parlimen Bersatu jika PRK diadakan.
Bersatu kini dalam usaha mengosongkan enam kerusi disandang Ahli Parlimennya yang menyokong Anwar selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) meluluskan pindaan perlembagaan parti itu.
Menerusi pindaan perkara 10 perlembagaan parti berkuat kuasa 1 April lalu, keahlian wakil rakyatnya akan terlucut jika menyatakan sokongan kepada pihak bertentangan dengan arahan atau pendirian parti sekali gus perlu mengosongkan kerusi untuk PRK.
Selain Zulkafperi, Azizi dan Zahari, turut menyatakan sokongan kepada Anwar adalah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan).
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara pula meragui kemampuan Umno merampas kerusi berkenaan berdasarkan kekuatan gelombang hijau yang masih belum reda.
“Gelombang hijau masih kekal manakala Umno tidak menjadi lebih kuat berbanding setahun setengah lepas. Ia berada dalam keadaan sukar untuk merampas kembali kerusi tersebut.”
“Wujud kegelinciran undi yang ketara dari undi Melayu kepada PN sejak PRU15 dan PRN. Anak muda juga kekal bersama PN, kalau PRK diadakan pengundi muda yang semakin bertambah mungkin sokong PN.
Bagaimanapun, Hisommudin dan Azmi senada bahawa peluang PRK diadakan sebelum penggal PRU15 tamat amat tipis, memandangkan keenam-enam Ahli Parlimen enggan mengosongkan kerusi mereka dan ia membawa kepada proses perundangan yang memakan masa panjang.
“Bersatu tidak boleh memaksa mereka (kosongkan kerusi) sebab bukan ahli mereka lagi dan gugurnya keahlian Bersatu tidak secara automatik gugurnya status mereka sebagai wakil rakyat,” kata Azmi.