Anwar, Terrirudin perlu jernihkan keadaan berkait ‘perintah tambahan’ Najib, kata Zaid

Anwar, Terrirudin perlu jernihkan keadaan berkait ‘perintah tambahan’ Najib, kata Zaid

Bekas menteri undang-undang itu juga mempersoalkan kebijaksanaan mengemukakan afidavit untuk memaksa kerajaan mendedahkan "perintah tambahan" tersebut.

Anwar Ibrahim - Ahmad Terrirudin Salleh
Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Peguam Negara Ahmad Terrirudin Salleh perlu mengadakan sidang akhbar untuk menjawab semua persoalan.
PETALING JAYA:
Zaid Ibrahim menggesa perdana menteri dan peguam negara mengadakan sidang akhbar bagi menjernihkan keadaan berhubung “perintah tambahan” yang membolehkan bekas perdana menteri Najib Razak menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.

Dalam hantaran di X, bekas menteri undang-undang itu juga mempersoal kebijaksanaan mengemukakan afidavit berkaitan permohonan Najib untuk memaksa kerajaan mendedahkan “perintah tambahan” tersebut. Beliau berkata afidavit seperti itu terdedah kepada pemeriksaan balas.

“Penyelesaian mudah adalah untuk perdana menteri mengadakan sidang akhbar dan bersama peguam negara,” katanya merujuk kepada Anwar Ibrahim dan Ahmad Terrirudin Salleh.

“Jawab semua soalan yang dibangkitkan. Biarkan perkara ini berakhir di situ. Biarkan mahkamah menguruskan masalah sebenar rakyat.”

Dalam permohonannya yang difailkan pada 1 April, Najib mendakwa bahawa Yang di-Pertuan Agong terdahulu, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, mengeluarkan “perintah tambahan” semasa mesyuarat lembaga pada 29 Jan, sehari sebelum tempoh penggal baginda berakhir.

Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dipengerusikan oleh Agong dan terdiri daripada lima ahli – peguam negara, menteri wilayah persekutuan, dan maksimum tiga orang lain yang dilantik oleh Agong

“Bagaimanapun, Titah Adendum (perintah tambahan) itu tidak diumumkan oleh lembaga pengampunan pada 2 Feb,” kata Najib.

Katanya, peguam beliau menulis surat kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, dan Menteri Undang-Undang Azalina Othman Said bagi mengesahkan sama ada perintah tambahan itu wujud atau tidak.

“Permintaan itu tidak dijawab,” kata Najib

Pada 2 Feb lalu, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengurangkan separuh hukuman penjara Najib bagi kes SRC International daripada 12 tahun kepada enam tahun dan mengurangkan denda dari RM210 juta kepada RM50 juta.

Najib, 70, kini menjalani hukuman di penjara Kajang dan dijadualkan dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Dalam satu afidavit menyokong permohonan Najib di mahkamah yang terdedah semalam, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi dilapor mengesahkan kewujudan perintah tambahan tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.