Kotak hitam helikopter maritim ditemui

Kotak hitam helikopter maritim ditemui

Kotak hitam itu dijumpai selepas ekor pesawat terbabit dikesan di kedudukan 1.9 batu nautika selatan Pulau Angsa, kira-kira 760m dari lokasi nahas.

Maritim Malaysia
Selepas berjaya dinaikkan dari dasar laut, kotak hitam itu dibawa ke makmal untuk dianalisis data rakaman bagi mengetahui punca sebenar insiden. (Gambar Maritim Malaysia)
SHAH ALAM:
Kotak hitam helikopter jenis AW139 kendalian Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang melakukan pendaratan cemas ketika melaksanakan latihan menyelamat di sekitar perairan Pulau Angsa, Kuala Selangor pada 5 Mac lalu ditemukan petang tadi selepas 44 hari pencarian.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Hamid Mohd Amin, berkata kotak hitam berkenaan dijumpai pasukan penyelam penyelamat Maritim Malaysia selepas ekor pesawat terbabit dikesan di kedudukan 1.9 batu nautika selatan Pulau Angsa, iaitu kira-kira 760m dari lokasi nahas berlaku.

“Setelah berjaya dinaikkan dari dasar laut, kotak hitam berkenaan telah dibawa ke makmal untuk dianalisis data rakaman bagi mengetahui punca sebenar insiden yang berlaku.

“Pihak Maritim Malaysia menjangkakan keputusan data akan diperoleh dalam masa terdekat berikutan keadaan kotak hitam tidak mengalami sebarang kerosakan yang teruk,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Hamid berkata operasi pencarian yang melibatkan 21 penyelam berdepan kesukaran akibat arus deras di dasar laut, selain jarak penglihatan di dalam air yang terhad akibat dasar laut berlumpur.

Beliau berkata, selain Maritim Malaysia, misi pencarian kotak hitam itu turut disertai kru sonar Pusat Hidrografi Nasional (PHN) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB).

Turut terlibat dalam misi ini adalah pihak penyedia perkhidmatan pesawat Maritim Malaysia iaitu Galaxy (M) Sdn Bhd, Bahagian Operasi Udara Maritim Malaysia serta kru kapal dan bot Maritim Negeri Selangor, katanya.

Dalam kejadian 5 Mac itu, pesawat diterbangkan Tengku Mohd Nizam Tengku Zakaria dan disertai Mohamad Azrol Saidi bersama kru udara John Ibno serta perenang penyelamat Muhamad Nurhayyat Hashim terpaksa melakukan pendaratan cemas ketika menjalani latihan menyelamat namun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.