Kerajaan akan wujud RUU baharu pertingkat keselamatan pintu masuk negara

Kerajaan akan wujud RUU baharu pertingkat keselamatan pintu masuk negara

Aspek keselamatan di semua pintu masuk negara sentiasa diutamakan bagi menjamin tahap keselamatan dan mengekang aktiviti menyalahi undang-undang.

Insiden di KLIA Terminal 1 Ahad lalu menyaksikan seorang lelaki melepaskan dua das tembakan ke arah isterinya dan satu daripadanya terkena pengawal peribadi wanita itu. (Gambar X)
PUTRAJAYA:
Kerajaan akan mewujudkan rang undang-undang (RUU) baharu bagi meningkatkan tahap keselamatan di semua pintu masuk negara, kata Jurucakap Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil.

Fahmi yang juga menteri komunikasi berkata, RUU itu yang sedang dirangka Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan membolehkan satu agensi penyelaras mengawal selia pintu masuk negara.

“Kita jangka dalam masa yang tidak terlalu lama KDN akan membawa satu RUU supaya ada satu agensi penyelaras antara beberapa agensi terlibat untuk mengawal selia pintu masuk negara…ia akan mempunyai punca kuasa dari segi undang-undang untuk mereka beroperasi dengan kuasa secukupnya.

“Perkara ini ada dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini,” katanya pada sidang media.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada mesyuarat Jemaah Menteri membincangkan insiden di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada Ahad lalu yang menyaksikan seorang lelaki melepaskan dua das tembakan ke arah isterinya dan satu daripadanya terkena pengawal peribadi wanita itu.

Suspek lelaki berusia 38 tahun itu kini ditahan reman tujuh hari bermula semalam selepas ditahan kira-kira 3 petang di Kota Bharu, Kelantan, Isnin lalu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Fahmi juga berkata, aspek keselamatan di semua pintu masuk negara sentiasa diutamakan bagi menjamin tahap keselamatan dan mengekang sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Beliau berkata, Jemaah Menteri menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk tindakan susulan.

“Memandangkan pihak berkuasa telah memberikan kenyataan khususnya ketua polis negara (Razarudin Husain) maka Jemaah Menteri melihat ia adalah menyeluruh dan kita serahkan kepada pihak berwajib,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.