Anak ketua polis Lahad Datu maut akibat 1 tembakan di dada

Anak ketua polis Lahad Datu maut akibat 1 tembakan di dada

Siasatan menyeluruh termasuk dari sudut SOP kawalan dan pengendalian senjata api masih dijalankan.

Jenazah anak bongsu daripada empat beradik itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Haji Khamis, Lahad Datu, petang tadi. (Gambar Bernama)
LAHAD DATU:
Punca kematian anak perempuan Ketua Polis Lahad Dzulbaharin Ismail berusia 14 tahun yang ditemukan berlumuran darah dalam bilik di rumahnya di Taman Tabanak, semalam adalah disebabkan tembakan di bahagian dada kanan.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Shahurinain Jais, berkata bedah siasat dijalankan di Hospital Lahad Datu mendapati hanya ada satu kesan tembakan pada tubuh mangsa.

Beliau berkata, polis telah memanggil tiga saksi untuk diambil keterangan dan merampas sepucuk pistol jenis Walther P99 yang dikaitkan dengan insiden itu.

Shahurinain juga berkata, kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut selepas siasatan mendapati tiada unsur jenayah dikesan dalam kejadian tersebut.

Bagaimanapun, siasatan menyeluruh termasuk dari sudut prosedur operasi standard bagi kawalan dan pengendalian senjata api masih dijalankan.

Jenazah anak bongsu daripada empat beradik itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Haji Khamis, pada 5.30 petang tadi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.