
Menterinya, Loke Siew Fook berkata walaupun aspek berkaitan penjualan pegangan saham berkenaan adalah keputusan korporat, sebarang perubahan terbabit perlu dimaklumkan kepada kementerian selain mematuhi dasar kerajaan yang menetapkan bahawa 51% aset utama negara dipegang syarikat tempatan.
“Saya tidak dimaklumkan lagi berkenaan hal itu (rancangan MMC untuk menjual pegangan saham) tetapi sekiranya ini melibatkan konsesi, sebarang perubahan pemilikan perlu dimaklumkan kepada MoT.
“Penglibatan syarikat asing dalam sektor pelabuhan juga bukanlah sesuatu yang baharu…sebagai contoh, 30% pegangan PTP (Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn Bhd) dimiliki oleh Maersk-Line,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran stesen pengecasan kenderaan elektrik Evlution bersama Mastercard dan RHB Bank Bhd.
Beliau mengulas laporan media mengenai tindakan syarikat pelaburan berpangkalan di New York, Global Infrastructure Partners (GIP) menangguhkan rancangan pembelian sehingga 49% kepentingan dalam MMC Port yang juga unit perniagaan konglomerat pelabuhan MMC Corp Bhd di bawah kawalan tokoh korporat terkemuka, Syed Mokhtar Al-Bukhary.
Syed Mokhtar dilaporkan memohon penilaian bernilai RM15 bilion hingga RM20 bilion bagi syarikat itu yang akan menjadikannya sebagai urus niaga terbesar berkaitan pelabuhan di negara ini.
Sementara itu, majlis hari ini merupakan inisiatif awal EVlution untuk menyediakan 2,000 unit stesen pengecas EV di seluruh negara menjelang 2025, memudahkan akses pengguna kenderaan elektrik untuk mengecas kenderaan mereka di lokasi strategik seluruh negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Evlution Jeffrey On berkata syarikat itu telah menetapkan sasaran tinggi bagi pemasangan 100 stesen pengecas EV di kawasan-kawasan metropolitan sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang, dan Johor.
“Kami sedang dalam proses penawaran bagi program Solar Berskala Besar (LSS) rundingan kelima tahun ini untuk mengukuhkan lagi komitmen terhadap penyelesaian tenaga lestari bagi masa depan lebih cerah,” katanya.