Polis, MKN, MAHB akan bincang tingkat keselamatan di KLIA, kata Loke

Polis, MKN, MAHB akan bincang tingkat keselamatan di KLIA, kata Loke

Menteri pengangkutan yakin polis akan memberikan nasihat serta mengadakan perbincangan lanjut dengan MKN dan MAHB.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata tiada rancangan memasang pengesan logam di pintu masuk KLIA buat masa ini.
KUALA LUMPUR:
Polis, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) akan membincangkan meningkatkan keselamatan di KLIA tidak lama lagi susulan kes tembakan di Balai Ketibaan pada Ahad lalu, kata Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook.

Beliau yakin polis akan memberikan nasihat serta mengadakan perbincangan lanjut dengan MKN dan MAHB.

“Saya serahkan kepada mereka untuk mengadakan perbincangan ini,” katanya selepas merasmikan pelancaran EVlution Charging Stations Rollout 2024 dengan Mastercard dan RHB Bank di sini.

“MAHB perlu ambil tindakan lanjut. Memandangkan ini membabitkan operasi dan potensi perubahan kepada SOP di lapangan terbang, perbincangan lanjut diperlukan terlebih dahulu.”

Ini kerana, katanya, keselamatan di lapangan terbang dikuatkuasakan bukan saja oleh polis, tetapi juga polis bantuan lapangan terbang itu.

Semalam, Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, insiden tembakan itu menekankan keperluan untuk langkah keselamatan lebih ketat di lapangan terbang utama negara.

Mengambil maklum orang ramai kini boleh memasuki kawasan lapangan terbang tanpa kawalan ketat, tidak seperti di negara lain yang menggunakan pengimbas, Hussein berkata, KLIA perlu melakukan lebih baik untuk mengesan individu membawa barang terlarang.

Loke berkata, tiada rancangan memasang pengesan logam di pintu masuk KLIA buat masa ini.

Katanya, pelbagai aspek perlu dipertimbangkan sebelum langkah khusus diambil.

Awal pagi Ahad lalu, seorang lelaki melepaskan dua das tembakan di Balai Ketibaan KLIA, dengan menyasarkan isterinya, tetapi terkena seorang pengawal keselamatan yang kini dirawat di hospital.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.