Parti kerajaan perpaduan bincang perkukuh jentera PRK KKB, kata Saifuddin

Parti kerajaan perpaduan bincang perkukuh jentera PRK KKB, kata Saifuddin

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata hasil mesyuarat itu akan dibentang dalam mesyuarat Majlis Perundingan Kerajaan Perpaduan dipengerusikan perdana menteri.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail mempengerusikan Mesyuarat Sekretariat Perpaduan malam ini. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Mesyuarat Sekretariat Perpaduan yang diadakan malam ini membincangkan persediaan memperkukuh jentera dan gerak kerja parti dalam kerajaan perpaduan untuk menghadapi PRK DUN Kuala Kubu Baharu.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, berkata hasil mesyuarat dipengerusikannya akan dibentang dalam mesyuarat Majlis Perundingan Kerajaan Perpaduan dipengerusikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim merangkap presiden PKR.

“Perbincangan malam ini berlangsung dengan cukup baik dan harmoni, juga adalah sebahagian daripada terjemahan kepada persefahaman yang ‘intact, compact and functioning’,” katanya di Facebook.

Mesyuarat itu turut dihadiri Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil, Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Wanita Amanah Aiman Athirah Sabu dan Timbalan Setiausaha Agung DAP Liew Chin Tong.

Pada 3 April lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini.

Pengerusi SPR, Abdul Ghani Salleh, berkata tarikh penamaan calon ditetapkan pada 27 April ini manakala pengundian awal pada 7 Mei.

Kerusi DUN Kuala Kubu Baharu kosong susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.