Zaid rayu dikeluar dari senarai ‘individu mempunyai pengaruh politik’

Zaid rayu dikeluar dari senarai ‘individu mempunyai pengaruh politik’

Bekas menteri undang-undang itu berkata beliau berdepan kesulitan ketika berurusan dengan bank kerana namanya termasuk dalam senarai Bank Negara.

Zaid Ibrahim berkata beliau berdepan kesulitan menukar wang dan membuka akaun bank kerana namanya disenarai dalam Individu Yang Mempunyai Pengaruh Politik oleh Bank Negara.
PETALING JAYA:
Bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim, merayu Bank Negara (BNM) untuk mengeluarkan namanya dari senarai Individu Yang Mempunyai Pengaruh Politik (PEP).

Bekas Ahli Parlimen Kota Bharu itu mendakwa keadaan berkenaan menyebabkan beliau berdepan kesukaran antaranya semasa menukar wang atau membuka akaun di bank.

Malah, dakwanya firma guamannya anak lelakinya dipanggil untuk menjelaskan hubungan dengan beliau sebelum boleh dimasukkan dalam panel bank.

“Anak saya beritahu mereka bahawa Zaid Ibrahim adalah bapanya, dan walaupun beliau adalah seorang PEP, mengapa ia perlu melibatkan anak?,” kata Zaid dalam hantaran di X.

“Saya merayu kepada gabenor BNM untuk memadamkan nama saya sebagai PEP. Ia tidak masuk akal. Ia menyebabkan kesulitan yang tidak perlu kepada saya dan keluarga saya.

“Saya tidak mempunyai cita-cita politik atau pun jawatan dalam parti politik. Penulisan saya adalah untuk terapi saya, dan itu sahaja sepatutnya tidak menjadikan saya PEP.

“Saya hidup seperti kebanyakan orang yang bersara, dengan beberapa simpanan dan tiada yang lain. Tiada keperluan untuk menyulitkan lagi hidup saya dengan memasukkan saya sebagai PEP.”

Pep merujuk kepada ahli politik, individu yang sedang atau yang telah diamanahkan dengan fungsi awam utama sesebuah negara dan individu yang sedang atau diamanahkan dengan fungsi utama organisasi antarabangsa.

Zaid Ahli Parlimen Kota Bharu dari 2004 hingga 2008. Beliau dilantik sebagai menteri undang-undang pada Mac 2008 tetapi meletakkan jawatan pada September tahun yang sama berhubung isu Akta Keselamatan Dalam Negeri, yang membenarkan tahanan tanpa perbicaraan.

Pada April tahun lalu, Timbalan Menteri Kewangan ketika itu Steven Sim memberitahu Dewan Negara bahawa BNM akan terus mengadakan perbincangan dengan institusi perbankan dari semasa ke semasa untuk menambah baik proses dalaman dan prosedur berkaitan PEP.

Menurut Bernama, Sim berkata, dasar itu bertujuan mendapatkan maklumat dan kefahaman secara menyeluruh berkenaan pelanggan tersebut dan seterusnya memelihara sektor kewangan negara daripada sebarang risiko aktiviti jenayah kewangan.

Sim berkata keperluan melaksanakan ECDD ini diwujudkan berdasarkan piawaian antarabangsa yang dikeluarkan oleh Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (FATF), iaitu sebuah badan antarabangsa yang menetapkan piawaian perlu dipatuhi oleh semua bank, sama ada di dalam atau luar negara.

Katanya, negara akan terdedah kepada risiko penarafan yang tidak memuaskan sekiranya institusi kewangan tidak terus melaksanakan polisi berkaitan Pep dan penilaian negatif terhadap negara akan mengakibatkan kesan serius kepada urusan perbankan.

“Contohnya, rakyat Malaysia dan syarikat yang ditubuhkan di Malaysia akan dikenakan tahap penelitian dan pemantauan yang lebih ketat apabila berurusan dengan pihak luar negara dan ini akan menyukarkan pembukaan akaun serta membuat transaksi kewangan antara sempadan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.