Suspek disyaki lari ke utara, ‘laluan tikus’ di Perlis diawasi ketat

Suspek disyaki lari ke utara, ‘laluan tikus’ di Perlis diawasi ketat

Polis Perlis berkata, koordinasi anggota digerakkan, khasnya di kawasan sempadan sebagai respons kepada arahan Bukit Aman.

Polis memperketatkan kawalan di ‘laluan tikus’ dalam usaha mengesan suspek kes tembakan di KLIA awal pagi tadi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis Perlis meningkatkan pemantauan di “laluan tikus” sempadan negeri itu demi memastikan suspek kes tembak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tidak lolos ke negara jiran.

Ketua Polis Perlis, Muhammad Abdul Halim, berkata koordinasi anggota digerakkan, terutama di kawasan sempadan sebagai respons kepada arahan Bukit Aman.

Setakat ini, katanya, tiada kelibat individu mencurigakan dikesan di Perlis.

“Kita turut menambah elemen kawalan, termasuk risikan kita di sempadan bagi memastikan suspek tidak terlepas ke negara jiran,” katanya menurut Berita Harian.

Seorang pengawal peribadi parah selepas terkena satu daripada dua das tembakan dilepaskan suspek di Balai Ketibaan KLIA kira-kira 1.30 pagi tadi.

Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, suspek dipercayai sudah melarikan diri ke utara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain dilaporkan berkata, suspek yang pernah ditahan Februari lalu, memiliki tiga rekod jenayah lampau membabitkan ugutan jenayah serta mencuri dan menyamar sebagai penjawat awam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.