‘Suami ditidurkan, alami pendarahan teruk’, kata isteri mangsa tembakan

‘Suami ditidurkan, alami pendarahan teruk’, kata isteri mangsa tembakan

Siti Noraida berkata suaminya bertugas sambilan sebagai pengawal peribadi sebelum Ramadan.

Isteri mangsa berkata, dia tidak menyangka insiden tembak terhadap suaminya berlaku ketika Syawal.
KUALA LUMPUR:
“Terkejut dan tidak sangka perkara begini berlaku pada bulan Syawal,” demikian luah isteri kepada pengawal peribadi yang parah ditembak di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, awal pagi tadi.

Wanita yang mahu dikenali sebagai Siti Noraida, 28, berkata sejurus selepas menerima maklumat berkenaan kejadian sekitar 2 pagi itu, beliau terus bergegas ke Hospital Cyberjaya untuk melihat suaminya yang sedang menerima rawatan.

“Pihak hospital memaklumkan keadaan suami saya ketika ini kritikal dan perlu ditidurkan. Saya juga diberitahu ada pendarahan teruk dan waktu tiba di hospital dia sesak nafas, tapi tiada organ penting yang kena (tembakan),” katanya kepada Bernama.

Suri rumah sepenuh masa itu, berkata suaminya ditugaskan sebagai pengawal peribadi secara sambilan sebelum Ramadan.

Terdahulu Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan mengesahkan berlaku kejadian tembakan di Balai Ketibaan KLIA Terminal 1 awal pagi tadi melibatkan seorang suspek lelaki yang telah dikenal pasti identitinya dan dipercayai telah melarikan diri ke utara.

Beliau berkata, kejadian adalah bersifat peribadi dan tidak melibatkan sebarang aktiviti keganasan atau mana-mana kumpulan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.