
Presiden TI-M, Muhammad Mohan berkata, walaupun tender secara terus kepada SRS Consortium wajar memandangkan mereka terbabit pelan induk pengangkutan negeri, proses tender langsung memerlukan pemantauan bebas ketat.
Walaupun kerajaan negeri tidak terlibat secara langsung dalam rundingan itu, katanya, pengawasan pihak ketiga sangat penting untuk mengelakkan pengaruh tidak wajar atau rasuah.
Kerajaan persekutuan komited membiayai sepenuhnya laluan 30km itu yang dibahagikan kepada tiga kontrak. Untuk jajaran utama, mekanisme “permintaan untuk cadangan sumber tunggal” digunakan, bentuk tender langsung di mana hanya satu pembekal dipilih.
Anak syarikat Gamuda Bhd, SRS Consortium diberikan projek pembinaan jajaran utama, manakala bakinya akan dibuka untuk tender.
Mohan berkata, pakar perlu dilibatkan untuk mengawasi proses itu dan memastikan semua rundingan dijalankan dengan betul.
“Dengan rundingan antara MRT Corp dan SRS Consortium, perlu ada pengawasan bebas, khasnya apabila anda memberikan projek itu melalui sumber tunggal atau tender terus.
“Ini bermakna, mereka perlu melaporkan jika wujud potensi masalah, proses tender tidak dilakukan dengan betul, membabitkan kroni atau ahli politik kerajaan dalam projek itu.
“Pakar-pakar ini akan memastikan rundingan dilakukan dengan betul, jujur dan terbuka.”
Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook mempertahankan permintaan untuk cadangan sumber tunggal diberikan kepada SRS Consortium memandangkan syarikat itu membiayai kajian teknikal awal dan reka bentuk, termasuk penilaian kesan alam sekitar serta sosial, secara bebas.
Pakar ekonomi, Lim Mah Hui berkata, timbul kebimbangan etika dan kewangan berhubung pemberian projek LRT kepada SRS Consortium susulan pembabitan syarikat itu dalam projek penambakan Pulau Silikon.
Katanya, penswastaan sebahagian projek penambakan pada 2021 memberi manfaat tidak seimbang kepada SRS Consortium dan syarikat induknya, Gamuda, yang membolehkan mereka mengaut keuntungan besar sebagai kontraktor tunggal serta 70% pemegang saham majoriti. Kerajaan negeri memiliki baki 30% syarikat tujuan khas yang membangunkan projek itu.
Memetik data SRS Consortium, beliau menganggarkan kerajaan Pulau Pinang hanya menerima RM600 juta atau 30% hasil bersih daripada penambakan pulau pertama, manakala Gamuda menerima sebahagian besar daripadanya, di samping hasil diperolehinya sebagai kontraktor penambakan.
“Kini, Gamuda turut ditawarkan projek LRT bernilai RM10.5 bilion tanpa tender terbuka. Keputusan ini memberikan Gamuda kelebihan tidak wajar, menyatukan kawalan ketara dan keuntungan kewangan daripada projek awam dalam tangan sebuah entiti swasta.”