Lelaki sasarkan isteri, tapi tertembak pengawal peribadi di KLIA

Lelaki sasarkan isteri, tapi tertembak pengawal peribadi di KLIA

Polis berkata, pengawal peribadi itu cedera parah.

Tangkap layar video menunjukkan mangsa cedera diusung keluar dari KLIA. (Gambar X)
PETALING JAYA:
Seorang pengawal peribadi cedera terkena tembakan disasarkan seorang lelaki kepada isterinya di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, kira-kira 1.30 pagi tadi.

Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan berkata, siasatan lanjut mendapati suspek sebenarnya mahu melepaskan tembakan ke arah isterinya yang sedang menunggu kepulangan jemaah umrah di KLIA.

Katanya, suspek melepaskan dua das tembakan, dengan satu daripadanya terkena seorang lelaki tempatan yang juga pengawal peribadi menyebabkannya cedera parah.

“Pihak polis telah mengenal pasti identiti suspek dan melancarkan operasi mengesannya yang dipercayai telah melarikan diri ke utara.

“Motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh dan Akta Senjata Api.

Hussein berkata, kejadian ini bersifat peribadi dan tiada kaitan aktiviti keganasan.

Katanya, keadaan di KLIA kini terkawal dan selamat.

Terdahulu, beberapa video tular di media sosial menunjukkan suasana cemas dengan bunyi tembakan kedengaran di KLIA.

Seorang wanita yang dipercayai berada di lokasi kejadian memuat naik hantaran di Facebook mendakwa mangsa terkena tembakan ialah pengawal peribadinya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.