
Timbalan Ketua Umno Johor Ahmad Maslan, berkata tindakan itu perlu dilakukan segera lebih-lebih lagi selepas laporan polis dibuat oleh 26 bahagian Pemuda Umno Johor.
“Ia penting supaya tindakan undang-undang dikenakan terhadap individu yang memuat naik hantaran yang menyentuh 3R, jika perkara ini dibiarkan berterusan, ia akan menjadi api dalam sekam,” katanya lapor Berita Harian.
Dalam entri dipadamkan, individu itu, Hezry Yasin yang juga ahli PAS antara lain menyatakan dia tidak menadah tangan ketika doa dibacakan untuk sultan atau Agong semasa solat Jumaat pada 12 April lalu.
“Namun, ketika doa buat sultan/Agong dan keluarga, saya menurunkan tangan. Dan kembali menadahkan tangan selepas doa buat mereka (rakyat Islam),” katanya.
Beliau juga mendakwa doanya hanya diberikan kepada pemimpin yang meletakkan agama nombor satu dan memperjuang serta mempertahankan Islam ketika agama diancam.
Hezry bagaimanapun memohon maaf atas tindakannya dan sedia memberikan kerjasama, jika disiasat pihak berkuasa.
Menurutnya, penulisan itu “pandangan peribadi” dan beliau tiada niat menghina institusi diraja.