
Beliau berkata kerajaan negeri tidak mahu rumah untuk rakyat Sabah yang kurang berkemampuan lewat disiapkan dan mendapati terdapat kontraktor yang melengah-lengahkan pembinaan.
“Kita akan melihat punca pembinaan rumah itu lewat,” katanya menerusi kenyataan sempena penyerahan Rumah Mesra SMJ di Ranau.
Joachim yang juga menteri kerajaan tempatan dan perumahan Sabah berkata selagi kerajaan negeri diterajui oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS), program Rumah Mesra SMJ akan diteruskan demi membantu rakyat yang memerlukan.
Beliau berkata setiap kawasan DUN diperuntukkan 20 buah Rumah Mesra SMJ.
Rumah Mesra SMJ yang dilancar kerajaan Sabah pada September 2022 merupakan program pemberian rumah bernilai RM70,000 secara percuma kepada rakyat dengan mengguna pakai konsep Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) bagi membantu rakyat berada di bawah garis kemiskinan.