Kerjasama dengan parti nasional tak bercanggah prinsip PBS

Kerjasama dengan parti nasional tak bercanggah prinsip PBS

PBS kata kerjasama selari kepentingan rakyat Sabah dan sejajar semangat persatuan.

Joachim Gunsalam
Pemangku Presiden Joachim Gunsalam kata kerjasama yang selari kepentingan rakyat Sabah dan sejajar semangat persatuan tidak bercanggah dengan prinsip PBS. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Parti Bersatu Sabah (PBS) menegaskan kerjasama dengan parti nasional tidak bercanggah dengan prinsip parti, sebaliknya selari realiti politik semasa serta kepentingan rakyat Sabah.

Pemangku Presiden Joachim Gunsalam, yang juga timbalan ketua menteri I, menerangkan kerjasama antara kerajaan negeri dan persekutuan sejajar semangat persatuan serta hubungan antara negeri dan negara.

“Kita akan mematuhi perlembagaan negeri, kita mematuhi Perlembagaan Persekutuan. Maka untuk kita bekerjasama itu bukanlah bertentangan dengan prinsip PBS,” katanya lapor Bernama, dalam ucapan sempena sidang tahunan PBS di Penampang, Sabah.

Joachim menyangkal naratif yang cuba memesongkan slogan ‘Sabah for Sabahan’ sebagai retorik anti-Malaya atau usaha membawa Sabah keluar daripada Malaysia.

“Ini bukan semangat sebenar slogan ‘Sabah for Sabahan’. Ia bermaksud memastikan anak-anak Sabah memegang jawatan penting dalam kerajaan negeri dan persekutuan, terutama jawatan yang beroperasi di Sabah,” katanya.

Sementara itu, Joachim beritahu pemberita bahawa beliau sependapat dengan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Hajiji Noor, bahawa GRS mungkin mempertimbangkan untuk memberi laluan serta tidak bertanding PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag.

“Saya rasa ia keputusan yang wajar jika kita mahukan kestabilan di negeri ini,” katanya.

Hari mengundi bagi kedua-dua pilihan raya ditetapkan pada 24 Jan 2026, manakala penamaan calon pada 10 Jan.

Pilihan raya diadakan susulan kematian penyandangnya, Bung Moktar Radin, yang juga ketua Umno Sabah, pada 5 Dis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.