Mahkamah beri hak penjagaan anak luar nikah kepada kakak tiri

Mahkamah beri hak penjagaan anak luar nikah kepada kakak tiri

Kakak tiri itu meyakinkan mahkamah bahawa dia berada dalam kedudukan untuk menjaga kanak-kanak terbabit selepas menjaganya seperti seorang ibu.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa gaya hidup dan sejarah seorang ibu kandung menunjukkan dia tidak wajar membesarkan anaknya yang berusia 12 tahun.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi di sini telah memberikan hak penjagaan ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang dilahirkan secara luar nikah, kepada kakak tirinya selepas memutuskan permohonan perubahan itu selaras dengan kepentingan terbaik kanak-kanak terbabit.

Hakim Evrol Mariette Peters mengambil pandangan bahawa tidak ada perubahan material dalam keadaan untuk membenarkan permohonan ibu kandung, yang dikenal pasti sebagai MON.

“Seksyen 11 Akta Penjagaan Kanak-Kanak secara jelas memberi mandat kepada mahkamah untuk mengutamakan kebajikan kanak-kanak dalam pertimbangannya.

“Prinsip ini berfungsi sebagai bahagian penting yang tergabung dalam semua prosiding yang secara langsung mempengaruhi kepentingan kanak-kanak,” katanya dalam penghakiman 21 muka surat yang dikeluarkan selepas mendengar daripada kedua-dua pihak.

Pada 2019, mahkamah memberikan hak penjagaan dan kawal selia anak tidak sah taraf kepada bapanya, dikenali sebagai MIL, yang meninggal dunia pada 2022.

Tahun lalu, MON dan kakak tiri kanak-kanak itu, yang dikenali sebagai GEL, membuat permohonan perubahan perintah untuk mendapatkan hak penjagaan kanak-kanak itu.

GEL sebaliknya mencabar permohonan MON dan memohon hak penjagaan kerana kanak-kanak itu tinggal bersama keluarga bapa kandungnya, sambil berhujah bahawa ibu kandung itu tidak layak untuk membesarkannya.

GEL adalah anak perempuan MIL dari perkahwinan terdahulu. Kedua-dua GEL dan MON adalah sebaya iaitu kedua-duanya berusia 38 tahun.

Si bapa menjalin hubungan dengan MON pada 2010, dan kanak-kanak itu dilahirkan pada Januari 2012.

MIL kemudiannya membeli sebuah rumah berkembar dua tingkat dan MON, kanak-kanak itu, GEL, serta dua adik-beradik berpindah ke rumah keluarga terbabit.

Mereka tinggal bersama sehingga Disember 2018 apabila MON meninggalkan rumah dan akibatnya, si bapa diberi hak penjagaan pada 29 April 2019.

Peters berkata kematian si bapa bukan secara automatik menyebabkan hak penjagaan kanak-kanak terbabit akan dikembalikan kepada si ibu kerana mahkamah masih perlu melihat kebajikan kanak-kanak itu, yang merupakan kepentingan utama.

Dia berkata, kakak tiri itu telah meyakinkan mahkamah bahawa dia berada dalam kedudukan untuk menjaga kanak-kanak itu manakala sejarah menunjukkan bahawa dia menjaga kanak-kanak itu seperti seorang ibu selama ini.

“Ia tetap tidak dipertikaikan bahawa GEL terus menyediakan kewangan untuk keperluan kanak-kanak itu selepas kematian MIL,” kata hakim, sambil menambah bahawa GEL telah mengambil langkah proaktif, malah mendapatkan polisi simpanan insurans untuk masa depan kanak-kanak itu.

Peters menambah bahawa gaya hidup dan sejarah si ibu menunjukkan dia tidak sesuai untuk membesarkan anaknya.

Beliau berkata MON, seorang ibu tunggal yang bertanggungjawab menyara anaknya daripada hubungan terdahulu juga gagal mendedahkan butiran gaji bulanan dan pekerjaannya.

Peters berkata dia telah menggunakan budi bicaranya dalam memutuskan untuk tidak menemu bual kanak-kanak itu kerana si ibu telah cuba mempengaruhi anaknya untuk membuat dakwaan penderaan seksual terhadap bapanya yang telah meninggal dunia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.