Ketua Pemuda DAP minta Akmal tunjuk kematangan

Ketua Pemuda DAP minta Akmal tunjuk kematangan

Dr Kelvin Yii berkata Akmal Saleh harus menunjukkan contoh dan kematangan apabila berbeza pendapat.

Kelvin Yii berkata Akmal Saleh seharusnya mematahkan dasar dengan dasar, mengusul usul yang lebih baik, dan berwacana secara matang.
PETALING JAYA:
Dr Akmal Saleh digesa oleh rakan sejawat DAP agar tidak kata-mengata susulan komen ketua Pemuda Umno itu terhadap seorang menteri kerana mengaitkan boikot dengan kesusahan yang dialami oleh satu pasangan suami isteri.

Dr Kelvin Yii berkata Akmal selaku pemimpin muda harus menunjukkan contoh dan kematangan apabila berbeza pendapat.

Katanya, kata-mengata telah menjejaskan wacana politik di negara ini.

Seharusnya Akmal “mematahkan dasar dengan dasar, mengusul usul yang lebih baik, dan berwacana secara matang.”

“Sama ada setuju atau tidak dengan sesuatu tindakan atau kenyataan, selaku pemimpin muda, beliau harus ketengahkan hujah-hujah yang baik dan matang untuk mematahkan kenyataan tersebut, atau kemuka kritikan membina terhadap isu berbangkit,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Akmal membidas Nga Kor Ming kerana cuba menyalahkan kempen boikot hingga satu pasangan suami isteri mengalami kesusahan.

Akmal, yang mula menyeru KK Mart diboikot susulan penemuan stoking tertera kalimah Allah, tertanya-tanya sama ada Nga mahu inisiatif itu dipertanggungjawabkan atas keadaan ekonomi semasa.

Menggelar Nga “kurang bijaksana”, Akmal berkata ekonomi negara jadi teruk sebab ada menteri yang macam Nga.

Nga juga naib pengerusi DAP.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.