
Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman berkata, penahanan terhadap suspek berusia 42 tahun itu dilakukan hasil serbuan polis ke atas dua lokasi berasingan kira-kira 12.10 tengah malam tadi.
Katanya, suspek disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di pusat hiburan sekitar daerah berkenaan.
“Susulan penahanan suspek warga tempatan itu, pihak polis berjaya menemui dan merampas 50 cawan jus minuman berisi bahan campuran disyaki dadah berbahaya dengan anggaran berat lebih 5.2 kilogram.
“Turut dirampas 75 kotak jus minuman pelbagai perisa juga disyaki berisi campuran dadah berjumlah 17,900 mililiter dianggarkan bernilai RM35,300,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata kes kini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 15 sebatan jika sabit kesalahan.
Katanya, suspek telah direman tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut.
“Hasil ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan turut memiliki tujuh rekod lampau berkait kes dadah,” katanya.