Jalin kerjasama selepas PRN langkah strategik Umno Sabah, kata penganalisis

Jalin kerjasama selepas PRN langkah strategik Umno Sabah, kata penganalisis

Lee Kuok Tiung berkata, penubuhan kerajaan perpaduan hasil 'gerakan politik' strategik dan perkara sama boleh berlaku di Sabah.

Penganalisis Lee Kuok Tiung berkata, masalah Umno Sabah ialah kemerosotan Barisan Nasional di negeri itu.
PETALING JAYA:
Seorang penganalisis menyifatkan ia langkah strategik buat Umno Sabah menjalin pakatan dengan Warisan atau parti lain hanya selepas PRN akan datang.

Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah memberi contoh penubuhan kerajaan perpaduan antara Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan gabungan lain di peringkat persekutuan, yang tidak diduga ramai.

Katanya, perkara sama boleh berlaku di Sabah selepas PRN akan datang kerana “dalam politik, anda selalu lihat dua pihak yang melakukan serangan bertubi-tubi dan melemparkan tuduhan tiba-tiba menjadi kawan baik, di sebalik sejarah permusuhan mereka.”

Beliau berkata, masalah Umno Sabah ialah kemerosotan kekuatan BN Sabah selepas beberapa tokoh penting keluar parti dan menubuhkan parti baharu.

Lee Kuok Tiung.

Contohnya, Shafie Apdal meninggalkan Umno dan menubuhkan Warisan, ditambah pula Parti Bersatu Sabah (PBS) serta Upko meninggalkan BN yang menyebabkan gabungan itu semakin lemah di Pantai Timur Sabah serta kwasan majoriti Kadazandusun Murut (KDM).

“Polemik Umno ialah parti komponen BN lain tidak menunjukkan prestasi. Parti Bersatu Rakyat Sabah mungkin boleh bantu mempertahankan kerusi (Parlimen) Pensiangan, tetapi bagaimana dengan kerusi bandar atau majoriti KDM?

“Parti Maju Sabah, Parti Liberal Demokratik (LDP), PBS dan Upko semuanya pernah menjadi parti komponen BN serta menyumbang undi kepada calon Umno. Kini mereka adalah lawan.”

Upko meninggalkan BN selepas PRU14 yang menyaksikan gabungan itu disingkirkan dari Putrajaya. Ia kemudiannya menyokong dan menyertai PH. LDP dan PBS menyusul, dengan PBS kini merupakan parti komponen utama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Hajiji Noor.

Minggu lalu, FMT memetik Ketua Penerangan Umno Sabah, Suhaimi Nasir sebagai berkata, ia mungkin hanya menjalin kerjasama dengan Warisan selepas PRN.

Walaupun perbincangan dengan Warisan berjalan lancar, katanya, pendirian itu mungkin diambil kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali seperti pada PRN 2020 yang menyaksikan banyak perjanjian dimeterai ketika itu, tetapi didakwa tidak ditunaikan.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, berbahaya untuk menjalin kerjasama selepas PRN kerana Warisan dan Umno berisiko “menjejaskan” undi masing-masing di kawasan bertindih.

“(Pertembungan kerusi) boleh menyebabkan kedua-dua parti tidak menang kerusi yang mereka mungkin boleh menangi, jika membahagikan kerusi itu terlebih dahulu dan membantu satu sama lain berkempen.

“Ia mungkin boleh menyerahkan kerusi kepada pihak ketiga dengan margin tipis.”raya

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.