
Nur Firdaus Abdullah atau nama asalnya Yap Kwai Wah ditangkap polis 39 tahun lalu kerana mengedar dadah jenis heroin seberat 2kg.
Bercakap kepada FMT, Firdaus memberitahu dirinya berbuat demikian kerana terdesak mengumpul duit untuk berkahwin dengan seorang gadis Jepun yang dicintainya.
“Hari sebelum kena tangkap sempat makan bersama mak, lauk ayam goreng dan itik. Selepas itu saya edar dadah dan ditahan…itu kenangan akhir bersamanya,” katanya dalam nada sebak kerana tidak dapat menatap wajah ibunya (Lee Kim They) buat kali terakhir sebelum disemadikan kerana merengkok di sebalik tirai besi.

Firdaus berkata dia dipenjarakan di Penjara Pudu dan di sana sikap memberontaknya terserlah kerana tidak dapat menerima hukuman gantung menyebabkannya sering bergaduh dengan banduan lain.
“Usia saya baru 24 tahun itu, memang tak boleh terima hukuman itu. Bagaimanapun semasa ditahan di bilik akhir enam bulan sebelum digantung, seorang tahanan bernama Aziz yang dua tahun lebih muda dari saya nasihat ‘mahu kena gantung pun gaduh lagi’.
“Dia nasihat saya suruh sembahyang, minta tolong dengan Allah padahal masa itu saya belum peluk Islam pun. Saya ikut nasihatnya lama kelamaan sikap panas baran berkurangan,” katanya memaklumkan hukuman itu kemudiannya dikurangkan oleh Mahkamah Rayuan kepada penjara 17 tahun dan 10 sebatan.
Katanya, Aziz juga dibebaskan dan dia cuba mencari rakannya itu namun tidak kesampaian apabila sekali lagi kembali ke tirai besi apabila ada pihak menggunakan namanya untuk menandatangani cek palsu bagi aktiviti perniagaan.
Dibebaskan dua tahun lalu, Firdaus yang kini berusia 65 tahun dan menetap di asrama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) selepas memeluk Islam berhasrat mencari Aziz yang difahamkan kini berada Sungai Udang, Melaka.
“Kalau jumpa nak peluk adik angkat saya itu, mahu lawat ke kampungnya,” katanya sambil memaklumkan nama Nur Firdaus juga diberi Aziz.
Mengenai hubungan dengan keluarganya, Firdaus mengakui dia tidak lagi mendengar khabar daripada mereka, namun jauh sudut di hatinya mahu kembali ‘bertemu’ dengan ibunya.
“Saya masih ingat pesanan akhirnya yang minta saya selalu sembahyang,” katanya yang mahu melawat ke tempat penyimpanan abu mayat ibunya namun tidak kesampaian hingga kini kerana tidak dimaklumkan lokasinya ditempatkan.
Berhubung masa depannya, Firdaus menaruh harapan dapat membuka pusat perlindungan untuk membantu orang susah jika mempunyai rezeki, sambil menganggapnya sebagai terapi meringankan beban golongan memerlukan.
“Kalau orang saya bantu gembira saya lagi gembira. Saya akan sedih kalau tak mampu tolong,” katanya.