Sampai masa, kita bincang kerusi PSB-SUPP, kata Abang Jo

Sampai masa, kita bincang kerusi PSB-SUPP, kata Abang Jo

Hanya kerusi Bawang Assan dan Engkilili jadi pertikaian susulan pembubaran PSB baru-baru ini, menurut premier Sarawak itu.

Premier Sarawak Abang Johari Openg tiba di majlis rumah terbuka Aidilfitri kerajaan negeri di Kuching hari ini. (gambar UKAS)
PETALING JAYA:
Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan membincangkan peruntukan kerusi – termasuk yang dipegang oleh bekas Adun pembangkang daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang kini menjadi anggota gabungan pemerintah – apabila tiba masanya.

Pengerusi GPS Abang Johari Openg berkata demikian menyangkal spekulasi berlakunya perbalahan dalam gabungan itu berikutan pembubaran PSB dan tindakan pemimpinnya menyertai Parti Demokratik Progresif (PDP), iaitu komponen GPS.

Apabila ditanya nasib kerusi yang diperuntukkan kepada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) tetapi dimenangi oleh PSB pada PRN 2021, beliau berkata, gabungan pemerintah akan menangani perkara itu apabila tiba masanya.

“Tak apa. Kita akan bincang apabila (datang PRN). Bila pilihan raya seterusnya? Semestinya bukan tahun ini.

“Kita tengok apa jadi. Dua kerusi sahaja (yang jadi pertikaian). Ba’Kelalan (secara tradisinya) kerusi PDP. Jadi cuma (perlu bincang) Bawang Assan dan Engkilili.

“Terpulang kepada merekalah nak runding bagaimana,” kata premier Sarawak itu kepada pemberita selepas majlis rumah terbuka Aidilfitri kerajaan negeri di Kuching.

Apabila PSB dibubarkan baru-baru ini, tiga Adun dan ahli lain menyertai PDP pimpinan Tiong King Sing.

Penganalisis menjangkakan langkah ini akan menyebabkan pertelingkahan dalam gabungan itu, terutamanya apabila presiden PSB ketika itu, Wong Soon Koh, dahulunya ahli SUPP, komponen GPS.

Wong, yang berkhidmat sebagai menteri kewangan kedua Sarawak selama 15 tahun, dipecat daripada SUPP pada 2014. Beliau menjadi Adun Bawang Assan sejak 1991 dan menewaskan calon SUPP, Robert Lau, pada PRN 2021.

PSB bertanding menentang GPS pada PRN 2021 dan memenangi empat daripada 82 kerusi ditandingi. Bagaimanapun, selepas Adun Batu Lintang See Chee How meninggalkan parti itu pada 2022, PSB hanya tinggal tiga kerusi.

Selain Wong, Adun lain dalam PSB terdiri daripada bekas naib presiden PKR Baru Bian (Ba’Kelalan) dan Johnical Rayong Ngipa (Engkilili).

Berikutan pembubaran PSB, Wong dilantik sebagai naib presiden kanan PDP manakala Baru dan Johnical turut diterima dalam barisan kepimpinan tertinggi parti.

Abang Johari berkata, apa yang lebih penting adalah bekas pemimpin-pemimpin PSB itu kini mengiktiraf kerja dan pencapaian kerajaan negeri diterajui GPS.

“Pada PRN lepas, mereka persoalkan dasar GPS. Namun kini mereka mengakui hakikat bahawa GPS berjaya melaksanakan (dasar). Dan kami mempunyai hala tuju yang sangat jelas tentang apa yang akan kami lakukan dengan Sarawak.

“Itu penting. Jadi seluruh Sarawak harus bersatu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.