Sampai ke London, pesara belanja RM3,000 kirim kad raya

Sampai ke London, pesara belanja RM3,000 kirim kad raya

Tahun ini Md Jadi Md Jeni menghantar 600 keping kad raya kepada kenalan di laman Facebooknya.

Md Jadi Md Jeni lebih selesa menghantar kad raya sebagai ingatan terhadap Aidilfitri kepada keluarga dan sahabat.
JEMPOL:
Ketika ramai lebih senang menghantar ucapan Aidilfitri secara digital, Md Jadi Md Jeni masih setia mengirimkan kad raya diserikan pantun ciptaannya sebagai menghargai penerimanya.

Harapan pesara berusia 68 tahun itu hanya satu, mahu budaya mengirim kad ucapan raya kembali meriah seperti sebelum ini.

Memulakan usaha itu sejak 2018, Md Jadi bermula dengan mengirimkan kad raya kepada 80 kenalan di laman Facebooknya dan angka itu kian bertambah sehingga 600 keping tahun ini.

“Tahun ini sahaja saya sudah pos 430 keping kad raya dari Perlis sampai ke Sabah, paling jauh ke London, termasuk Brunei dan Singapura.

“Masih menunggu 255 orang lagi,” katanya ketika ditemui FMT pada Ramadan lalu di kediamannya di Felda Palong 2, Negeri Sembilan.

Md Jadi akan menghantar kad raya kepada sesiapa sahaja yang memberikan alamat untuk dipos, menerusi laman Facebooknya yang pasti ditunaikannya walaupun mereka tidak mengenali satu sama lain.

Menurut anak jati Melaka itu, usaha itu dimulakannya kerana ‘rasa kurang seronok’ mendapat ucapan raya secara digital dan usaha berkenaan disambut rakan di Facebook.

“Saya rasa kurang seronok bila hantar ucapan melalui SMS melalui Facebook, melalui Twitter. Saya nak fizikal kad-kad yang betul-betul. Yang itu baru saya hargai.

Md Jadi Md Jeni meneliti nama penerima bagi memastikan setiap kad raya dikirimkan kepada orang yang tepat dengan harapan dapat menyemarakkan lagi semangat tradisi berharga itu.

“Teringat waktu dulu-dulu, kita teruja menunggu posmen setiap hari hantar kad raya. Kadang-kadang kita marah posmen kenapa tak hantar kad raya ke rumah kita,” singkapnya yang menghabiskan RM3,000 setiap tahun untuk mengirim kad raya.

Meskipun terpaksa menempuh perjalanan jauh untuk membeli dan mengepos kad raya, namun Md Jadi berasa puas berikutan kad raya yang ditulis tangan berserta nukilan pantun enam keratnya, mencipta kenangan indah buat penerimanya.

“Bergenang air mata saya, bila ada empat atau lima orang hamba Allah, tulis dekat saya, ‘selepas 32 tahun tak tengok kad raya tahun 2024 barulah tengok balik’.

“Hilang penat saya ulang alik ke pejabat pos sampai 10 ke 20 kali,” ujarnya.

Bekas penjawat kerajaan itu yakin budaya mengirim kad raya boleh kembali disemarakkan dengan syarat pelbagai pihak harus berganding bahu.

“Pertama, kedai percetakan haruslah cetak kad raya lebih awal, sebelum masuk Ramadan. Kedua, media seperti radio dan televisyen, tolong selitkan (sebarkan) budaya kirim kad raya.

“Ketiga, cikgu sekolah boleh suruh anak murid untuk simpan RM2 atau RM3 untuk kad raya, kirim dekat mak ayah sendiri, adik-beradik, kawan-kawan atau juga pada cikgu-cikgu,” katanya penuh semangat.

Md Jadi percaya zaman akan terus berubah namun masyarakat harus berganding bahu mengekalkan budaya agar tidak pupus ditelan dek zaman.

“Jiwa saya kental. Saya tak akan berubah, saya tak peduli, kata orang. Asalkan saya sihat, ada umur panjang, saya tetap kirimkan kad raya,” katanya sambil tersenyum.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.