
Perlu ada penghayatan lebih tinggi terhadap tekstil dan pakaian tradisional Melayu untuk mengekalkan warisan masyarakat, kata seorang ahli akademik dan ketua kumpulan artisan.
Presiden Persatuan Pencinta Tekstil Tradisional (Citra), Nini Marini Ramlan memberitahu FMT, ramai dalam kalangan masyarakat hilang sentuhan terhadap tekstil tradisional yang digunakan dalam pakaian budaya Melayu, di mana ramai menggunakan samping buatan mesin diimport dari negara seperti India.
Pensyarah seni persembahan, Nur Afifi Taib pula berkata: “Orang ramai menerima pakaian ala Arab atas prinsip Islam dan kesopanan. Tetapi, pakaian tradisional Melayu (seperti baju kurung) sudah mempunyai nilai sama.”
Menurutnya, ramai yang memilih alternatif kepada pakaian tradisional Melayu menyebabkan mereka semakin terpisah daripada warisan budaya sendiri.
Nini berkata, ramai rakyat Malaysia kurang kesedaran mengenai pakaian tradisional, tidak seperti Indonesia, di mana orang ramai berpengetahuan tentang warisan tekstil mereka.
Katanya, tidak salah memakai fabrik buatan mesin atau import, “tetapi kita hilang sentuhan tentang corak (rekaan) kita. Saya selalu tanya orang ramai sama ada tahu mereka menggunakan kain broked India dan mereka jawab ‘Ya, tetapi saya tidak kisah sangat’.
“Itu menyedihkan bagi saya memandangkan reka bentuk yang kita ada lebih baik kerana ia mencerminkan tradisi dan budaya kita,” katanya kepada FMT.

Samping yang dipadankan dengan baju Melayu secara tradisinya menampilkan penggunaan songket dengan tenunan hiasannya menggabungkan benang emas atau perak.
Samping ditenun daripada songket tidak pernah hilang tarikannya, fabrik dan reka bentuk dikaitkan dengan pakaian tradisional Melayu itu mengalami evolusi budaya selama beberapa dekad, meminjam rekaan dari Nusantara dan India.
Nini berkata, permintaan berkurangan dan kenaikan kos menyebabkan pembuat pakaian tradisional serta artis tidak berhasrat meneruskan kraf mereka.
“Mereka perlu diperkasakan. Media harus memainkan peranan lebih besar dalam menyediakan platform untuk artis mempamerkan kisah di sebalik kraf mereka.”
Nur Afifi yang bersama UiTM berkata, sedih melihat pakaian tradisional Melayu digantikan pakaian negara lain seperti abaya, terutama ketika perayaan.
“Contohnya, baju kurung sememangnya labuh. Secara falsafah, ia cantik juga. Ia dinamakan ‘kurung’ kerana mengekang pemakainya terkeluar daripada batasan hukum syariah.
“Sedih melihat orang ramai tidak lagi tahu cara mengikat samping dengan betul. Sekarang, ada versi segera pakaian disertakan tali pinggang. Tetapi, mengikat samping tanpa tali pinggang adalah seni, ia sebahagian warisan Melayu.
“Saya rasa terpulang kepada keluarga untuk mendedahkan anak-anak kepada tradisi ini. Pendidikan memainkan peranan penting dalam menyemai penghargaan terhadap tradisi. Ini tidak berlaku di sini.”