Peluang pelaburan di Bangladesh cetus pandangan berbeza

Peluang pelaburan di Bangladesh cetus pandangan berbeza

Presiden FMM Soh Thian Lai berkata tenaga kerja muda negara dan kepimpinan global dalam pembuatan pakaian adalah antara tarikan utamanya.

dhaka textile
Naib Pengerusi MICCI Shaun Cheah memberi amaran bahawa pembuatan pakaian dan tekstil di Bangladesh ‘terlebih tepu’. (Gambar EPA Images)
PETALING JAYA:
Kumpulan perniagaan dan pelabur Malaysia mempunyai pandangan yang berbeza mengenai peluang pelaburan yang berpotensi di Bangladesh, dengan sikap berhati-hati terhadap sentimen semasa.

Presiden Persekutuan Pengilang Malaysia, Soh Thian Lai, berkata pelabur Malaysia optimis secara berhati-hati tentang peluang perniagaan di Bangladesh.

Beliau berkata kos buruh yang rendah, tenaga kerja muda dan kepimpinan global dalam pembuatan pakaian adalah tarikan utama pelabur.

Soh Thian Lai
Soh Thian Lai.

“Bidang tumpuan utama pelabur Malaysia termasuk tekstil dan pakaian, pemasangan elektronik dan teknologi komunikasi internet, memanfaatkan kepakaran Bangladesh dan keupayaan pengeluaran yang kompetitif,” kata Soh.

Bagaimanapun, Naib Pengerusi Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI), Shaun Cheah, berkata pelabur Malaysia secara amnya kurang berminat untuk meneroka peluang di Bangladesh.

Katanya, sektor pembuatan pakaian dan tekstil tidak sesuai serta ‘terlebih tepu’ untuk Malaysia namun beliau percaya sektor makanan dan minuman (F&B) dan barangan pengguna lebih berpotensi di sana.

“F&B, barangan pengguna, alat elektronik, kafe dan kedai roti akan berjaya. Contohnya, King’s Confectionery milik Malaysia ialah tempat santai premium untuk warga Bangladesh di Dhaka. Kosmetik dan produk penjagaan kulit juga laku di sana,” katanya.

Sementara itu, kedua-dua mereka turut berkata perniagaan Malaysia mesti bersedia menghadapi beberapa cabaran menjalankan perniagaan di Bangladesh, termasuk kekurangan sumber negara.

“Bangladesh adalah negara miskin sumber dengan populasi yang ramai. Halangan bahasa, pergolakan politik yang kerap dan rasuah yang berleluasa juga merupakan beberapa cabaran,” kata Cheah.

Shaun Cheah
Shaun Cheah.

Soh pula berkata infrastruktur yang lemah, keadaan buruh, jurang kemahiran dan isu pematuhan mencabar potensi Bangladesh sebagai hab pembuatan.

“Kebimbangan terhadap keadaan buruh dan pematuhan piawaian antarabangsa juga menimbulkan risiko reputasi untuk perniagaan,” katanya.

Minggu lalu, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Bangladesh Shuhada Othman mengadakan pertemuan dengan penasihat perdagangan Bangladesh Sheikh Bashir Uddin, yang berkata Bangladesh berminat untuk meningkatkan hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala dengan Malaysia melalui pelaksanaan perjanjian perdagangan bebas.

Bangladesh ialah rakan dagangan kedua terbesar Malaysia di kalangan negara Asia Selatan. Jumlah perdagangan antara kedua-dua negara mencecah RM12.7 bilion pada 2023.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.