Nahas Lake Tekapo: Hanya 1 pelajar masih terima rawatan susulan

Nahas Lake Tekapo: Hanya 1 pelajar masih terima rawatan susulan

2 lagi pelajar yang cedera telah dibenarkan keluar dari Hospital Christchurch, menurut Wisma Putra.

Wisma Putra merakamkan penghargaan kepada semua pihak terlibat, termasuk kerajaan New Zealand serta masyarakat Malaysia di Christchurch, yang membantu memudahkan dan memastikan kebajikan pelajar terjaga.
PUTRAJAYA:
Hanya seorang pelajar Malaysia masih menerima rawatan susulan di Hospital Christchurch, New Zealand susulan kemalangan jalan raya membabitkan lima pelajar Malaysia di Lake Tekapo, New Zealand bulan lepas.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam kenyataan hari ini berkata, dua lagi pelajar yang cedera telah dibenarkan keluar dari hospital.

Mengenai dua pelajar yang meninggal dunia dalam nahas pada 30 Mac itu, jenazah seorang daripadanya telah selamat dikebumikan di Christchurch, manakala jenazah seorang lagi pelajar telah dibawa pulang dan selamat dikebumikan di Malaysia.

Kementerian itu turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat termasuk kerajaan New Zealand, Hospital Timaru, Hospital Christchurch, Universiti Canterbury, masyarakat Malaysia di Christchurch dan pihak lain yang terlibat, yang sama ada secara langsung atau tidak langsung, membantu dalam memudahkan dan memastikan kebajikan pelajar dijaga dengan baik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.