
Rumah impian sepanjang 40 tahun bergelar anak seni lenyap begitu saja dibadai bah besar yang berlaku sekelip mata ketika hujan lebat pada tanggal 18 Dis, dua tahun lalu.
Ketika hujan membasahi bumi Hulu Langat petang itu, Ebby, atau nama sebenarnya Muhammad Yunus Abdul Rashid, 59, dalam perjalanan ke Bukit Kapar, Klang dari Kampung Sungai Lui di mana rumah itu sedang dibina untuk menghadiri sebuah majlis agama.
Sebelum itu, pelakon dan pelawak terkenal tersebut sempat bertandang ke rumah yang siap 90% pembinaan untuk meninjau kerja kemasan akhir termasuk memasang kertas dinding.

“Elok saya keluar (dari tapak rumah) dalam pukul 5 petang, kontraktor kata air dah masuk rumah. Saya kata, habislah ‘wallpaper’ kita kembang ni. Tapi kita dah ke sana (Bukit Kapar), jadi esoklah baru datang tengok rumah,” katanya kepada FMT mengimbau tragedi dua tahun lalu itu.
“Dalam sejam dua, dia telefon semula kata rumah dah hilang,” Menurut Ebby, beliau membelanjakan kira-kira RM200,000 untuk membina rumah impiannya itu.
“Kita bukan kecewa tapi kita rasa macam tak percaya…eh sekejapnya hilang, aku buat rumah ni empat tahun tau, empat tahun baru nak siap,” luahnya berat.
Ebby berhasrat mahu menjadikan mahligai berciri tradisional itu sebagai lokasi berhimpun 10 adik-beradiknya terutama pada Aidilfitri. Impian itu lenyap sekelip mata bersama bah besar yang dikatakan banjir terburuk dalam tempoh lima dekad.
“Esoknya tu baru saya dapat datang tengok… tetapi sebatang tiang (rumah) pun tak ada.” Kongsi anak kelahiran Batu Kikir, Negeri Sembilan itu, tapak rumah itu berdekatan tebing sungai menyebabkan ia paling teruk terkesan berbanding kediaman lain.
“Sekarang rumah tu memang dah hasil titik peluh saya tapi tak diizinkan oleh Allah untuk duduk. Jadi saya tak ada apa-apa sebab Allah belum izinkan,” katanya reda.

Bina surau hasil sumbangan
Rebah sekali, bangkit berkali-kali. Ebby yang pernah dinobatkan pelakon komedi terbaik itu tidak cepat mengalah, sebaliknya meneruskan impian membina rumah sendiri untuk berteduh sehingga hujung usia.
Dugaan demi dugaan, diuji pula dengan kesihatan yang kurang mengizinkan untuk membina kembali rumah baharu, beliau bersyukur apabila mendapat bantuan dari pihak kerajaan sebuah rumah bernilai RM56,000, selain bantuan wang tunai dari orang ramai.
“Rumah ini walaupun kecil dan jauh sedikit dari tapak asal, tapi Alhamdulillah,” katanya.
Katanya, sumbangan orang ramai yang mahu melihat beliau memiliki rumah semula digunakan untuk membina surau, yang turut bercirikan tradisional, seperti struktur asal mahligainya yang “hilang”.
“Kebetulan kerajaan dah bagi rumah ni, jadi saya fikir duit (sumbangan) tu ada saya buatlah surau… tujuannya bukan untuk kami saja, tetapi untuk musafir, untuk orang kampung nak ke kebun berteduh dari hujan…berehatlah di sini.”

Banjir besar jadi igauan
Masih menyewa di Kampung Baru, Kuala Lumpur, Ebby yang kini menggunakan perentak jantung selepas menjalani prosedur jantung dua bulan lepas mengakui bah besar itu masih mimpi ngeri yang sukar dilupakan.
“Kalau siang kurang, tapi kalau malam bila tidur sini ada rasa la sikit (bimbang) sebab kita tak tahu hujan di hulu… kalau nak tidur malam dengar hujan tu ‘suspen’ la…”
Tambahnya, laluan jalan utama ke kampungnya juga terputus sejak banjir besar itu menyebabkan beliau dan 13 lagi keluarga di tanah lapang itu terpaksa menggunakan laluan alternatif yang lebih jauh.
“Dua kali saya buat jambatan sementara selepas itu pun hanyut, sekarang kena ikut laluan alternatif tetapi susah sikit sebab lalu tanah orang… kena pusing jauh sikit dalam 5km,” katanya.
Paling dibimbangi apabila hujan jika bah besar sekali lagi melanda dan sukar untuk penduduk di situ menyelamatkan diri kerana hanya ada satu laluan ke kampung berkenaan.
“Andai kata berlaku sekali lagi kita nak lari mana? Sebab kita mengharapkan jambatan yang di sana sedangkan air datang dari sana,” katanya memaklumkan kesulitan itu menyebabkannya berat hati tinggal di situ, berbanding perancangan awal.
Ebby masih menaruh impian untuk menghimpunkan keluarganya menyambut Aidilfitri secara meriah. “Tak tahu bila. Tahun ini pun rasanya tak dapat dalam keadaan begini.”