Anak saudara jadi bintang, teman seperjuangan Sudirman

Anak saudara jadi bintang, teman seperjuangan Sudirman

Atai yang kini pemimpin korporat menceritakan kenangannya termasuk ketika beraya dengan bapa saudara dan keluarganya.

Seperti bapa saudaranya, Razman Azrai Zainuddin (Atai) berjaya mencapai impian besarnya.
PETALING JAYA:
Peminat Sudirman Arshad pasti terharu dengan kisah anak saudara penyanyi legenda itu, Atai.

Dilahirkan sebagai Razman Azrai Zainuddin, Atai dan Sudirman menawan hati ramai rakyat Malaysia pada 1980-an kerana penonton suka visi hiburan mereka dalam video muzik, rancangan kuiz di televisyen yang mereka hoskan bersama dan ketika konsert. Kedua-duanya menyimpan impian besar dan berjaya merealisasikannya.

Tetapi, tidak ramai tahu apa dilakukan Atai sekarang, yang langsung tiada kaitan dengan dunia hiburan.

Atai yang kini berusia 50 tahun ialah pemegang PhD dari Swiss School of Management di Switzerland, sarjana dalam sistem maklumat komputer dari Universiti Staffordshire di United Kingdom dan sarjana muda sains dari Universiti Rhode Island di Amerika Syarikat.

Pengarah Asia Pasifik bagi syarikat teknologi SICPA itu menyertai pasukan yang membangunkan jalur lebar pertama Malaysia, Streamyx ketika bersama Telekom Malaysia.

Atai berkata, kejayaannya dalam pelajaran dan dunia korporat disebabkan Sudirman “mempunyai sifat luar biasa untuk memotivasi saya dan bercakap perkara betul”.

“Bapa saudara saya ialah kawan baik dan mentor saya, saya minta dan dengar nasihatnya.

“Beliau berpendapat hiburan membantu bina perwatakan, dan sejak kecil saya belajar betapa pentingnya bekerja keras untuk mencapai impian, fokus dalam kehidupan dan berminat dengan kemahiran sendiri.

Sudirman dan Atai menawan hati rakyat Malaysia pada 1980-an. (Gambar blogspot Sudirman Arshad)

“Beliau beritahu saya, bila buat persembahan, anda perlu senyum walaupun dalam kesedihan.”

Sebagai tanda penghargaan, Atai berusaha menghidupkan kenangan bersama Sudirman, yang meninggal dunia pada 1992 ketika berusia 37 tahun, termasuk menghasilkan biopik mengenainya.

“Jika saya tidak teruskan legasinya, siapa lagi?” soalnya.

Raya zaman kanak-kanak

Atai berkata, semasa kecil, Aidilfitri disambut secara besar-besaran di rumah keluarganya di Batu Tiga, Temerloh, Pahang.

“Orang kampung datang tanpa henti, ada banyak makanan dan gelak tawa, dengan Sudirman menjadi tumpuan,” katanya mengimbau kenangan menyanyi, menari dan berlakon bersama Sudirman buat keluarga serta jiran.

Sudirman (kiri) bersama anak saudaranya Era dan Atai serta kakaknya Rudiah. (Gambar Facebook)

Sebelum 1 Syawal, Sudirman akan menghantar kira-kira 35,000 kad Hari Raya yang ditandatanganinya sendiri kepada peminatnya. “Saya tak tahu bagaimana beliau lakukannya?”

Beliau mengimbau Tengku Mahkota Pahang ketika itu, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkunjung ke rumah mereka ketika Aidilfitri pada 1980-an, di mana Sudirman yang teruja, segera menukar semua perabot di rumah sambil ditemani ibu Atai, Rudiah.

“Ia pengalaman membeli-belah yang agak lucu,” katanya sambil menambah ibunya terkejut dengan kos keseluruhan barangan dibeli mereka.

Sudirman bergurau: “Kakak saya mahu berbelanja seperti Joan Collins (pelakon terkenal dengan kehidupan mewah) tetapi dia tak ada duit”.

Selepas membeli perabot dan tetamu diraja tiba, Sudirman menyanyikan lagu “Apa Khabar Orang Kampung”.

Atai (tengah) ketika merakam album ‘Sahabat’ yang diapit Sudirman (kanan) dan pengarah muzik Jenny Chin. (Gambar blogspot Sudirman Arshad)

Anak saudara kesayangan

Ditanya bagaimana beliau menjadi anak saudara kesayangan Sudirman, Atai berkata: “Saya tak tahu. Tetapi ketika muda, saya selalu nyanyi di depan ahli keluarga, bahkan ketika kecil, saya kritik persembahannya, mungkin sebab itu dia suka saya.”

Ketika berusia enam tahun, Atai muncul dalam beberapa lagu Sudirman dan rancangan televisyen kerana vokalnya serupa dengan penyanyi legenda itu.

“Saya boleh capai nada tinggi sepertinya ketika dia masih muda. Beberapa sepupu atau adik-beradik saya boleh berbuat demikian.”

Pada usia 12 tahun, beliau mewakili Sudirman menerima anugerah penghibur terbaik dan berucap semasa Anugerah Muzik.

Ditanya wartawan selepas majlis anugerah itu mengenai gelaran untuk Sudirman, jawapannya ialah “Cokman” dan “Pakcik secara berseloroh beritahu saya patut panggilnya bos”.

Katanya, nama “Cokman” berkembang daripada pakcik Sudirman, Cik Dirman, Cik Oman, dan Cik Man.

“Atai datang daripada Azrai. Semasa bayi, kakak saya tak dapat sebut perkataan Azrai.”

Pada 1980-an, Sudirman mengeluarkan wang sendiri untuk menghasilkan album sulung Atai berjudul “Sahabat”.

“Semua bagai mimpi. Seperti siri rancangan TV Keluarga Bahagia, beliau atur semuanya dan jadikan saya bintang.

Selepas pemergian Sudirman, Atai memikat penonton dengan lagu dan kostum pernah dipakai legenda itu, termasuk ketika bapa saudaranya meniru aksi lucu, cara pemakaian dan solekan pelawak tersohor, Charlie Chaplin.

Atai berkata kenangan bersama Sudirman sentiasa bermain di fikirannya.

Rindu ‘Cokman’

Atai menyimpan banyak barang milik Sudirman di rumahnya di Cyberjaya, termasuk meja kerja bapa saudaranya kerana “ia membuatkan saya terfikir masa indah apabila saya merinduinya”.

Katanya, Sudirman sering kerja semalaman hingga 7 pagi supaya boleh menghantarnya ke sekolah. “Dia akan hantar saya ke pintu pagar dan semua orang dan gadis di dalam bas teruja melihatnya. Saya malu bila dia berikan ciuman selamat tinggal.”

Bapa kepada tiga anak perempuan berusia 16, 12 dan tujuh tahun itu berkata: “Sehingga hari ini, saya akan menangis bila terfikirkannya dan mendengar lagunya semasa saya sedih. Saya beraya bersama bapa saudara saya di kampung dan selama bertahun-tahun beraya tanpanya.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.