Agong, Permaisuri, anggota Kabinet solat Aidilfitri di Istana Negara

Agong, Permaisuri, anggota Kabinet solat Aidilfitri di Istana Negara

Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah kemudian berangkat ke Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri bersama perdana menteri, anggota Jemaah Menteri dan dif kenamaan.

Sultan Ibrahim bersama Anwar Ibrahim dan anggota Jemaah Menteri menunaikan solat sunat Aidilfitri di Surau Utama Istana Negara. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Surau Utama Istana Negara.

Bernama melaporkan keberangkatan tiba Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah pada 8.23 pagi tadi diiringi Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan anggota Jemaah Menteri.

Solat sunat Aidilfitri itu dipimpin Pegawai Agama Istana Negara, Munir Md Salleh.

Ini kali pertama Seri Paduka Baginda menunaikan solat sunat Aidilfitri di Istana Negara selepas melafaz sumpah memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Jan lalu.

Khutbah Aidilfitri bertajuk “Hakikat Kemenangan” yang dibacakan Munir antaranya menyeru umat Islam memanfaatkan keberkatan Aidilfitri untuk memperbaiki hubungan persaudaraan sesama anggota masyarakat.

Selain itu, hari raya juga merupakan peluang terbaik memperbaiki hubungan sesama umat Islam dan meninggalkan budaya label-melabel, caci-mencaci dan tuduh-menuduh sesama sendiri.

“Hakikatnya, kita semua bersaudara. Terkadang dipecahkan oleh hal-hal yang sangat remeh, namun membawa kesan berpanjangan. Maka, berusahalah memperbaiki hubungan sesama umat Islam atau kita berusaha menjadi pendamai kepada umat Islam yang berselisih.”

Selesai solat sunat, Seri Paduka Baginda bersalaman dengan jemaah. Solat berkenaan disertai kira-kira 200 jemaah.

Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah kemudian berkenan bersalaman dengan hadirin yang berangkat ke Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri bersama perdana menteri, anggota Jemaah Menteri, timbalan menteri dan dif kenamaan.

Majlis yang dihadiri kira-kira 400 tetamu itu turut disertai Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, Yang Dipertua Dewan Rakyat Johari Abdul, Yang Dipertua Dewan Negara Mutang Tagal, Panglima Angkatan Tentera Malaysia Mohammad Ab Rahman dan Ketua Polis Negara Razarudin Husain.

Turut hadir perwakilan asing dari United Kingdom, Turki, Mesir, Uzbekistan, Maldives, Senegal dan Ireland. Tetamu lain yang dijemput adalah kerabat diraja Johor.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.