
KUALA LUMPUR: Polis memohon orang ramai membantu mengesan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang tidak pulang ke rumah sejak Sabtu lalu.
Ketua Polis Petaling Jaya, Shahrulnizam Jaafar, berkata remaja perempuan itu, Anis Zulaikha Abdul Azim dilaporkan kali terakhir dilihat di rumahnya di Ara Greens, Ara Damansara pada 2.30 petang.
Beliau berkata, remaja berkenaan dilihat mengenakan jeans dan sweater hitam.
“Laporan polis berhubung kehilangan remaja perempuan itu dibuat keesokannya pada 9.44 pagi di IPD Petaling Jaya,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan remaja tersebut boleh tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya 03 79662222.