
Ketua Polis Kuala Muda Zaidy Che Hassan berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian letupan mercun dan bunga api di lokasi berkenaan daripada seorang pegawai polis dari Balai Polis Sungai Petani kira-kira pukul 12 tengah malam.
“Pegawai itu menerima maklumat kejadian daripada aplikasi WhatsApp dalam bentuk video yang berdurasi 43 saat berkaitan letupan mercun dan bunga api di lokasi berkenaan.
“Hasil siasatan yang dijalankan mendapati letupan berpunca daripada pembakaran satu unit mercun jenis ‘happy bom firework’ dan semasa letupan berlaku, mercun itu telah terbalik dan tersasar ke arah lambakan mercun lain sehingga menyebabkan mercun dan bunga api terbakar dalam kuantiti yang banyak,” katanya dalam kenyataan.
Zaidy berkata letupan itu menyebabkan suasana menjadi cemas. Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani mengesahkan tiada tercetus kebakaran dan tiada kecederaan dialami oleh orang awam yang berada di sekitar lokasi berkenaan.
“Berikutan itu, polis menahan dua lelaki iaitu pemilik mercun yang berusia 27 tahun dan pembakar mercun berusia 24 tahun untuk tindakan selanjutnya. Kes disiasat di bawah Seksyen 7(a) Akta Bahan Letupan,” katanya.