
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan berkata, sehingga kini stok fizikal beras negara adalah sebanyak 1,096,964 tan metrik termasuk 290,000 tan metrik stok penimbal beras.
“Bagi maksud keterjaminan bekalan beras negara, jumlah tersebut adalah stabil serta mampu menampung keperluan untuk tempoh 5.48 bulan.
“Tambahan pula, jumlah stok fizikal beras negara berbanding jumlah penduduk adalah antara yang tertinggi dan terjamin di rantau ini,” katanya.
Menurut KPKM, pihaknya giat melakukan pengedaran stok beras putih tempatan (BPT) dengan penurunan harga beras putih import (BPI) antara RM2 hingga RM3 seperti dimuktamadkan melalui Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol) bulan lalu.
Sementara itu, KPKM memaklumkan bagi meningkatkan pengeluaran beras tempatan, kerajaan turut merangka pelbagai inisiatif antaranya peluasan program Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) Ala Sekinchan, program penanaman padi 5 musim untuk 2 tahun dan inisiatif memperkukuh infrastruktur pengairan sawah.
“KPKM juga menggalakkan penanaman dan pengambilan hasil tanaman-tanaman lain yang bernutrisi dan sihat oleh rakyat selain daripada makanan ruji negara.
“Perkara ini antara penekanan utama KPKM dalam melaksanakan agenda keterjaminan makanan negara selaras Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2021-2030,” katanya.