Ikut seni khat, logo di tapak kasut Vern’s tak sama kalimah Allah, kata pakar

Ikut seni khat, logo di tapak kasut Vern’s tak sama kalimah Allah, kata pakar

Logo itu dilihat tidak menepati sebarang kaedah penulisan khat yang diterima secara tradisi, kata Nor Azlin Hamidon.

Kekeliruan berlaku apabila bentuk logo di tapak kasut Vern’s hanya melakar dua garis bentuk kasut tumit tinggi dan “loop” mewakili tali kasut, menurut pakar tulisan khat Nor Azlin Hamidon.
KUALA LUMPUR:
Logo pada tapak kasut keluaran jenama Vern’s yang didakwa seakan-akan kalimah Allah, tidak menyamai kalimah suci itu dalam aspek seni penulisan khat, tegas pakar tulisan khat Nor Azlin Hamidon.

Beliau yang juga pensyarah bidang Pengajian Budaya Seni Visual, Pengkhususan Seni Islam dan Seni Khat di Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, hal ini kerana logo itu mempunyai lebihan garisan yang merosakkan penulisan kalimah Allah.

“Dari sudut pendapat khattat (penulis atau pakar khat), logo berkenaan dilihat tidak menepati sebarang kaedah penulisan khat yang diterima secara tradisi dan reka bentuknya adalah dalam kategori khat bebas.

“Kemungkinan ia tidak disengajakan dari aspek reka bentuk kasut tumit tinggi berkenaan,” kata beliau yang juga timbalan yang dipertua Persatuan Seni Khat Kebangsaan.

Sebelum ini, tular satu video berdurasi tiga minit menerusi media sosial mengenai seorang lelaki mendakwa kasut keluaran Vern’s yang dibelinya memaparkan logo seakan-akan kalimah Allah pada tapaknya.

Nor Azlin berkata, kekeliruan berlaku apabila bentuk logo itu hanya melakar dua garis bentuk kasut tumit tinggi dan “loop” atau garis putaran mewakili tali kasut seperti dinyatakan oleh pihak jenama kasut berkenaan.

“Bentuk putaran tali pada logo kelihatan kalimah Allah yang lengkap terutamanya pada bentuk garis seakan tulisan huruf jawi ‘ha’ (bahagian hujung putaran yang bersambung dengan bentuk kasut tumit tinggi). Itu adalah bentuk tambahan yang menjadikan titik punca masalah berbentuk kalimah Allah.

“Garis putaran itu juga bersifat nipis pada garis putaran pertama, seolah-olah menyerupai tulisan huruf jawi ‘alif’ sehingga kelihatan ia hampir terputus atau tidak bersambung. Itu yang menyebabkan orang boleh membacanya seperti kalimah Allah,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, sekiranya reka bentuk logo itu tidak disengajakan oleh pihak pengeluar kasut berkenaan, maka ia perlu diperbaiki untuk mengelakkan isu sensitif ini terus berlaku.

Nor Azlin turut berharap hal sebegini dijadikan pengajaran serta tidak diulangi oleh semua pihak pereka bentuk mana-mana produk.

Sementara itu Yang Dipertua Persatuan Seni Khat Kebangsaan Abd Rahman Hamzah berkata, lakaran atau rekaan yang tertera di tapak kasut berkenaan tidak jelas dan tidak terkait dengan kalimah Allah, selain bentuknya terlalu samar dan banyak kemungkinan untuk mentafsir logo itu.

Beliau berkata, isu ini boleh disamakan seperti bentuk huruf “T” atau “+'”pada corak atau hiasan yang dikaitkan dengan tanda salib Kristian.

“Kita sewajarnya tidak mudah melatah, bukan semua huruf ‘T’ itu tanda salib. Geometri Islam juga banyak bentuk begitu sejak berzaman,” katanya sambil menambah, perkara itu tidak wajar dipanjangkan.

Sementara itu pensyarah Pengajian Islam, Syariah, Fiqh Wa Usul dan Al-Quran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Abdul Hanis Embong berkata, umat Islam khususnya tidak boleh memecahkan logo itu dengan hanya memfokus kepada “loop” atau garis putaran yang mewakili tali kasut semata-mata, sekali gus menyamakan ia dengan kalimah Allah.

“Kalau tengok secara keseluruhan logo itu, memang tidak akan nampak (kalimah Allah). Sebab itu kita jangan pecahkan dia. Mana-mana logo pun kalau dipecahkan, boleh timbulkan salah faham. Sama macam ucapan yang mana apabila diambil separuh-separuh, konteksnya akan lari.

“Syarikat kasut itu pun sudah beri penjelasan. Jadi, sebagai orang yang waras kita boleh tengok justifikasi (pihak syarikat),” kata timbalan dekan (bakat dan penyelidikan) Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan UMT itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.