Senator sertai gesaan rombak Majlis Perubatan Malaysia

Senator sertai gesaan rombak Majlis Perubatan Malaysia

Dr RA Lingeshwaran juga berkata perlu ada pengasingan kuasa antara jawatan CEO dan presiden.

Senator Dr RA Lingeswaran mahu Kementerian Kesihatan menjelaskan mengapa MPM tidak mengisi jawatan CEO yang kosong hampir setahun. (Gambar JAPEN)
PETALING JAYA:
Seorang senator berpendapat Majlis Perubatan Malaysia (MPM) yang “tenat” memerlukan pembaharuan besar-besaran, berikutan tiga saman terhadap majlis tersebut dan desakan untuk melakukan perubahan.

Senator Dr RA Lingeswaran juga menggesa Kementerian Kesihatan untuk menjelaskan mengapa sebuah badan kawal atur penting seperti MPM tidak mengisi jawatan ketua pegawai eksekutif (CEO) yang kosong selama hampir setahun.

Beliau mendakwa MPM kini diketuai oleh seorang pemangku CEO yang tidak mempunyai pengalaman dalam menguruskan sebuah organisasi besar seperti itu.

“Walaupun Ketua Pengarah Kesihatan Dr Radzi Abu Bakar juga merupakan presiden MPM, peranan utamanya di kementerian memerlukan semua masa dan perhatiannya,” kata senator itu.

“Oleh itu, saya juga mencadangkan, dalam desakan semasa untuk meminda Akta Perubatan 1971, harus termasuk pemisahan kuasa antara dua jawatan tersebut,” kata Lingeswaran, yang merupakan bekas pengarah Hospital Sungai Bakap di Pulau Pinang.

Beliau menambah secara idealnya, presiden dan CEO MPM haruslah kedua-duanya doktor yang berpengalaman, dengan pengalaman klinikal dan pengurusan hospital, untuk memastikan pengurusan perkhidmatan kesihatan yang berkesan.

Baru-baru ini, enam pakar dari laluan patologi Universiti Sains Malaysia (genetik perubatan) bersama-sama menfailkan saman terhadap MPM kerana tidak mengiktiraf kursus mereka untuk membolehkan mereka disenaraikan dalam Daftar Pakar Kebangsaan.

Seorang pakar neurologi Malaysia di Hong Kong dan sebuah kolej perubatan tempatan juga terlibat dalam pertikaian undang-undang dengan pihak kawal atur itu.

Pelajar USM dan pakar neurologi itu berjaya mendapatkan kebenaran mahkamah untuk mendengar kes mereka masing-masing pada 20 Jun dan 16 April, manakala kes Universiti Lincoln masih tertangguh di Mahkamah Persekutuan.

Desakan pembaharuan dalam MPM juga datang dari Persatuan Perubatan Malaysia, kumpulan Hartal Doktor Kontrak – yang memperjuangkan kesejahteraan doktor muda – dan Akademi Perubatan Malaysia.

Lingeswaran berkata ada kemungkinan sekumpulan pakar bedah toraks kardiovaskular yang memperoleh kelayakan pakar mereka melalui program laluan selari juga akan membawa kes terhadap MPM.

Beliau berkata pertikaian berlaku apabila MPM enggan mengiktiraf doktor bedah yang memperoleh kelayakan dari Royal College of Surgeons of Edinburgh di bawah program laluan selari kementerian, mencalarkan nama baik Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Bukan hanya presiden kolej Edinburgh menulis surat dengan mesej tegas kepada menteri kesihatan, tetapi diplomat kanan dari kedutaan besar Britain dan Ireland juga bertemu dengan Dzulkefly untuk menyampaikan kebimbangan mereka mengenai program pakar dari kolej perubatan itu yang tidak diiktiraf,” katanya.

Beliau berkata tindakan ini jelas menunjukkan kelemahan dalam pentadbiran dan pimpinan MPM terutamanya ketika permintaan dalam bidang kesihatan meningkat dan peningkatan populasi yang menua.

Beliau berkata menurut iklan kekosongan jawatan MPM tahun lalu, CEO harus memiliki sekurang-kurangnya 15 tahun pengalaman kerja yang relevan untuk peranan itu, tambahnya bahawa jawatan tersebut tidak sepatutnya dibiarkan kosong atau hanya diisi oleh pemangku.

Lingeswaran mencadangkan agar undang-undang dipinda supaya jawatan presiden MPM dipilih melalui satu pemilihan, bukan secara automatik diberikan kepada ketua pengarah kesihatan yang sibuk.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.