
Ketua Polis Johor M Kumar, berkata dua lelaki tempatan berusia 32 dan 51 tahun serta seorang wanita warga asing berusia 32 tahun itu ditahan di sebuah rumah teres di bandar raya ini pada 1.30 tengah hari, pada Selasa lalu.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat daripada seorang individu yang ditahan itu, polis menemukan 13.6kg serbuk ekstasi yang diletakkan di dalam 345 peket dan tiga bekas, 27 pil ekstasi, 1.20g ketamin, dan 24.7g syabu di sebuah rumah teres di Seri Alam.
“Dadah itu dipercayai diperoleh dari negeri berdekatan dan diubah suai atau diproses menjadi jus, serta kemudian dijual pada harga lebih RM200 bagi satu peket di pasaran tempatan terutama di pusat hiburan,” katanya pada sidang media di IPD Johor.
Beliau berkata, sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak awal tahun ini dan menjadikan rumah teres yang disewa di Seri Alam itu sebagai stor penyimpanan dan tempat pembungkusan semula dadah.
Kumar berkata, ketiga-tiga individu itu didapati positif terhadap methamphetamine, manakala dua daripadanya memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah.
Beliau berkata, pihaknya sedang giat mengenal pasti individu lain yang dipercayai terlibat dalam sindiket itu.
Semua yang ditahan direman seminggu hingga Selasa untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.