
Pelajar-pelajar tersebut – Bryan Lim, Victor Ngow, Thamini Vijeyasingam dan Elisa See – adalah dalam kalangan 15.4% pelajar antarabangsa terpilih dari 94 negara untuk melanjutkan pengajian di Harvard College.
Nadiah Wan, daripada Harvard Club of Malaysia berkata, institut pengajian tinggi Liga Ivy itu menerima 1,937 pelajar daripada 54,008 yang memohon, dengan kadar penerimaan 3.59%.
Mengenai pelajar-pelajar Malaysia yang terpilih itu, Nadiah berkata, Lim ialah pelajar IGCSE di Garden International School, manakala Ngow ialah lulusan SPM daripada SMK Damansara Utama.
Sementara itu, Thamini menamatkan pendidikan menengahnya di ELC International School, manakala See ialah graduan Marlborough College Malaysia.
Lim berhasrat melanjutkan pengajian dalam bidang sains komputer dan matematik gunaan, Thamini dalam bidang ekonomi dan falsafah, manakala See ingin menuntut ilmu dalam bidang sains politik dan ekonomi, atau sains komputer.
Ngow pula akan melanjutkan pengajian sama ada dalam bidang sains alam sekitar dan dasar awam, atau kejuruteraan alam sekitar.
Menurut Nadiah, pelajar-pelajar yang pintar dan proaktif ini telah menyumbang kepada masyarakat dalam banyak cara.
Lim pernah mewakili Malaysia dalam Olimpiad Matematik dan Sains Komputer, serta dalam sukan bola keranjang junior, manakala Ngow mencipta sel biobahan api mikro untuk sebuah pertandingan kimia dan terlibat dalam Project ID, sebuah NGO pendidikan.
Selepas tamat A-Level, Thamini menjalani latihan amali di FMT dan KAF Investment Bank, selain aktif dalam debat dan mengambil bahagian dalam pertandingan kebangsaan dan serantau serta Model United Nations.
Sementara itu, See menjalani latihan amali di pelbagai organisasi seperti pejabat Adun Subang Jaya Michelle Ng dan gerakan Undi 18.
Universiti Harvard, institut pengajian tinggi tertua di Amerika Syarikat, ditubuhkan pada 1636 dan dianggap secara meluas sebagai antara universiti terkemuka di dunia. Dalam QS World University Rankings 2024, universiti tersebut menduduki kedudukan keempat.
Setakat ini, Malaysia mempunyai kurang 10 bekas pelajar Kolej Harvard.