Trafik mula sesak, ramai pulang sempena Aidilfitri

Trafik mula sesak, ramai pulang sempena Aidilfitri

Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak lebuh raya mula sesak sejauh 17km dari Tol Gombak ke Genting Sempah.

Keadaan aliran trafik di lebuh raya utama yang mula sesak susulan orang ramai pulang ke kampung halaman sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama menghala ke arah Pantai Timur dan utara, dilaporkan mula perlahan setakat 9 pagi ini, susulan ramai mula pulang ke kampung halaman bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata aliran trafik di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dari Gombak menghala ke Genting Sempah, mula sesak dari Gombak ke Genting Sempah melibatkan jarak sejauh 17km dari Tol Gombak.

“Aliran trafik ke arah Utara dari Slim River ke Sungkai dan dari Terowong Menora ke RnR Sungai Perak, juga dilihat mula perlahan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Aliran trafik turut dilaporkan perlahan di arah Utara dari Bidor menuju ke Tapah.

Sementara itu, kemalangan yang dilaporkan berlaku di KM314.7 arah Utara dari Tapah ke Gopeng pada 7.43 pagi, telah diselesaikan dan kenderaan mula bergerak dengan lancar.

Selain itu, beberapa laluan Smartlane juga telah diaktifkan pagi ini, antaranya di KM4.5 hingga KM1.9 arah Selatan dari Setia Tropika ke Pasir Gudang dan juga di KM27.0 hingga KM19.0 arah Selatan dari Kulai ke Senai.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline 1-800-88-0000 dan laman Twitter www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM 1-800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.