Pemandu maut, 2 parah kemalangan 7 kenderaan

Pemandu maut, 2 parah kemalangan 7 kenderaan

Kemalangan berlaku di KM 425.6 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menghala selatan berhampiran Hospital Sungai Buloh, malam tadi.

Bomba berkata kemalangan di KM 425.6 Lebuhraya PLUS hala selatan itu membabitkan tujuh kenderaan termasuk sebuah bas ekspres dan sebuah pacuan empat roda. (Gambar JSPT)
KUALA LUMPUR:
Seorang pemandu pacuan empat roda maut manakala dua lagi cedera parah dalam kemalangan membabitkan tujuh kenderaan termasuk sebuah bas ekspres di KM 425.6 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menghala selatan berhampiran Hospital Sungai Buloh, malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata dalam kejadian kira-kira 11.30 malam itu, dua individu yang cedera parah dikenal pasti sebagai penumpang kenderaan pacuan empat roda dan pemandu kereta jenis Honda Accord.

Beliau berkata enam lagi mangsa yang cedera ringan merupakan seorang lelaki dewasa, empat wanita dan seorang kanak-kanak lelaki dan semuanya telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan.

“Semua 24 penumpang dan dua pemandu bas ekspres bagaimanapun tidak mengalami apa-apa kecederaan,” katanya dalam kenyataan.

Mukhlis berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian pada 11.37 malam dan 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat rawang bersama sebuah jentera, ambulans dan pacuan empat roda dikerah ke lokasi kejadian.

“Kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang maut dan cedera selesai 1.15 pagi tadi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.