Pangkalan data Bersatu: akar umbi bimbang, pemimpin nafi ada masalah

Pangkalan data Bersatu: akar umbi bimbang, pemimpin nafi ada masalah

Seorang pemimpin Bahagian mendakwa pangkalan data ketika ini tidak selaras, seorang lagi ahli bimbang ia mungkin memberi kesan pada pemilihan parti akan datang.

Timbul persoalan mengenai pangkalan data keahlian Bersatu selepas dua pemimpin bahagian mendakwa data sedia ada tidak “selaras” dengan sistem sebelum ini. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Menjelang pemilihan Bersatu tidak lama lagi, dua pemimpin akar umbi menyatakan kebimbangan mengenai pangkalan data keahlian parti itu, tetapi seorang pemimpin tertinggi menafikan sistem itu bermasalah.

Ketua penerangan Bersatu Razali Idris menafikan pangkalan data berpusat itu mempunyai masalah dan berkata, ia diselenggara dengan baik.

“Ia adalah pangkalan data asal dan sering ditambah baik serta ia masih sah sehingga sekarang. Saya ahli nombor 146,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun, seorang pemimpin bahagian Bersatu dari Selangor yang enggan dikenali berkata parti itu mempunyai sistem baharu tetapi datanya tidak selaras dengan sistem sebelumnya.

Beliau mendakwa kepimpinan Bersatu sebelum ini tidak melakukan serah tugas dengan betul apabila mereka meninggalkan parti. Bekas pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad dan beberapa pemimpin lain disingkirkan daripada Bersatu pada Mei 2020.

“Apabila kepimpinan terdahulu meninggalkan Bersatu, mereka membawa pangkalan data bersama,” katanya kepada FMT.

Katanya, data baharu tersebut baru sahaja diwujudkan dan ia diuruskan oleh Setiausaha Agung parti Hamzah Zainudin.

“Semuanya masih tidak selaras. Ia kucar kacir, dengan sebahagian ahli tidak tahu mengenai nombor keahlian mereka.

“Sebagai contoh, saya mendaftar secara manual untuk menjadi ahli Bersatu beberapa tahun lalu tetapi saya tidak boleh memeriksa nombor keahlian saya kerana pangkalan data baharu itu tidak selaras,” katanya.

Menurutnya, perkara itu sudah beberapa kali dibangkitkan kepada kepimpinan tertinggi tetapi isu itu masih belum diselesaikan.

“Kami membangkitkan perkara ini ketika mesyuarat kepimpinan negeri dan juga Majlis Kerja Tertinggi. Ia sudah beberapa tahun tetapi masih belum diselesaikan.”

Seorang lagi pemimpin akar umbi pula bimbang isu pangkalan data itu mungkin menjejaskan pemilihan parti akan datang, tambahnya isu itu sepatutnya diselesaikan lama dahulu.

“Kita juga tidak pasti berapa ramai ahli yang parti ada ketika ini. Mereka yang menyasarkan jawatan besar boleh menapulasi (sistem),” katanya.

Bagaimanapun, Razali menafikan dakwaan dua pemimpin bahagian itu dan berkata mereka patut berani meletakkan nama mereka sekiranya tuduhan itu benar.

“Sekiranya mereka tidak mendedahkan nama, mereka hanya berbohong,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.