Isu 3R meningkat 123% suku pertama tahun ini

Isu 3R meningkat 123% suku pertama tahun ini

Sistem e-Sepakat mengesan 47 isu berkaitan 3R berbanding 21 isu dalam tempoh sama tahun lepas, kata Aaron Ago Dagang.

Sebanyak 162 kes berkaitan pergaduhan kaum direkodkan oleh polis di seluruh negara, dengan kes tertinggi di Johor sebanyak 53 kes, kata Menteri Perpaduan Aaron Ago Dagang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Isu melibatkan agama, kenyataan berbaur kebencian dan perkauman menunjukkan peningkatan sebanyak 123% pada suku pertama tahun ini, menurut Menteri Perpaduan Datuk Aaron Ago Dagang.

Beliau berkata, sistem e-Sepakat telah mengesan 47 isu berkaitan 3R (agama, bangsa dan institusi raja) pada suku pertama tahun ini berbanding 21 isu dalam tempoh sama pada tahun lepas.

Sistem e-Sepakat merupakan pusat pengumpulan data utama bagi pengurusan isu perpaduan sebagai mekanisme gerak kerja pengesanan, pemantauan dan pelaporan isu itu secara digital.

Menurut Aaron, 1,454 kandungan berkaitan 3R diturunkan daripada platform media sosial sejak Januari hingga 31 Mac lepas. Ini termasuk kandungan mengandungi ucapan kebencian kaum (588 kes); ucapan kebencian agama (727); dan ucapan kebencian institusi diraja (139) yang dikenal pasti oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

Sementara itu, katanya, sebanyak 162 kes berkaitan pergaduhan kaum direkodkan oleh polis di seluruh negara, dengan kes tertinggi di Johor sebanyak 53 kes; Selangor (34 kes); dan Pulau Pinang (23 kes).

“Walaupun Kementerian Perpaduan Negara tiada kuasa atau peruntukan khas seperti akta untuk mengambil tindakan dari segi perundangan, tetapi kementerian melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional berperanan penting dalam membantu mengurus isu perpaduan.

“Antara mekanisme pengurusan isu perpaduan yang sedang dilaksanakan oleh JPNIN ialah pengesanan dan pemantauan isu perpaduan pada peringkat akar umbi melalui sistem e-Sepakat,” katanya, lapor Bernama.

Aaron berkata, sebagai sebuah negara yang memiliki kepelbagaian latar belakang, sikap hormat-menghormati dan tolak ansur perlu berada pada tahap yang tinggi serta dihayati setiap lapisan masyarakat.

“Menjadi kemestian bagi kita untuk memahami budaya, bahasa, agama dan cara hidup setiap kaum yang ada di negara ini,” katanya.

“Apabila kita saling memahami, maka ruang untuk saling menerima dan bertoleransi akan terbuka lebih luas serta jurang perbezaan antara kaum dapat dikurangkan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.