
Salman Abdullah sekeluarga bagaimanapun harus berpuas hati meraikan hari lebaran secara ala kadar, lantaran desakan hidup.
Siapa Salman? Sekiranya anda melewati Sogo KL, ada kebarangkalian akan terserempak dengan maskot katak di pintu masuk pusat beli-belah popular itu.
Di sebalik telatahnya sebagai Frogman, tersimpan kisah Salman bergelut untuk menanggung keluarganya, terutama kakaknya yang hilang upaya.
Kisahnya di FMT menarik perhatian ramai rakyat baik hati, yang membuka lembaran baharu bagi Salman sekeluarga.
Setiap hari, lelaki berusia 23 tahun ini meredah kota untuk menghiburkan pengunjung hingga ke malam.

Setiap ahli keluarga mencari rezeki di kaki lima. Bapa dan adik lelakinya melantun suara sebagai busker.
Ibunya, dan kakaknya yang menderita kecederaan saraf tunjang, jantung berlubang, katarak, dan pekak, turut menemani mereka mencari rezeki.
Namun pendapatan mereka tidak seberapa. Bagaimanapun kehidupan mereka berubah apabila FMT melaporkan kisah Salman.
“Selama dua hari telefon saya tak henti-henti berbunyi. Saya tak boleh tidur,” katanya kepada FMT Lifestyle, tentang keprihatinan yang ditunjukkan orang ramai kepadanya.
“Orang tanya, ‘Awak Frogman? Yang keluar di FMT tu?’ Bila saya sampai Sogo, orang menyapa dan bergambar dengan saya.”
“Sampaikan kadang-kadang nak ke tandas pun payah,” katanya, sambil tertawa.

Bukan sahaja Salman bertambah popular, kisahnya juga mendorong ramai orang menyumbang lampin dan susu untuk kakaknya, Siti Nur Ashikin, 24.
“Saya gembira terima semua bantuan ini. Terima kasih semua yang menyumbang,” kata ibunya, Saniah Taib, 52.
Baru-baru Saniah dan Salman melakukan sesuatu yang tidak pernah mereka buat selama hidup di KL: beli-belah hari raya untuk diri sendiri.
“Selalunya saya perhati je orang lain beli-belah semasa musim raya,” kata Salman, dengan air mata bergenangan.
“Ada rasa sedih bila tengok orang lain sambut hari raya dengan pakaian baharu.”
Bapanya, Johari Mad Salleh, 53, berharap kehidupan keluarganya akan bertambah baik.

“Saya nak beli kuih raya untuk Salman,” katanya, dengan nada sebak.
“Sebelum ini, saya cuba pajak telefon tetapi kedai tak mahu terima. Jadi saya jual untuk RM40.” Duit itu, katanya, digunakan untuk beli juadah raya.
FMT kunjungi keluarga Salman baru-baru ini, bersama hadiah untuk hari raya. Kediamannya ceria dengan tawa, lampu kelip-kelip, rendang ayam, dan kuih-muih aneka rupa.
Nyanyian lagu raya oleh Johari dan anak bongsu menjadikan saat itu lagi meriah.

“Terima kasih semua rakyat Malaysia,” kata Salman. “Walau apa pun kaum dan agama anda, terima kasih semua yang telah membantu keluarga saya.”
“Bahkan orang Singapura pun tampil membantu. Moga Allah balas kebaikan hati anda semua.”
Di sebalik kesyukuran itu, Salman tekad untuk menambahbaik persembahannya agar dia tidak perlu bergantung pada sumbangan orang ramai. Salman dengan aktif mempromosikan Frogman dan sudah terima tugasan untuk pertunjukan dan acara.
“Saya tak boleh selama-lamanya bergantung pada sumbangan orang lain. Saya harus berdikari,” katanya.
Moga kisah Salman mengajar kita bahawa hidup boleh berubah dengan tidak disangka-sangka.
Salman boleh dihubungi di 011-1424 6815.