Sekiranya wujud, kenapa tak dedah ‘titah tambahan’ sebelum ini, soal Bersih

Sekiranya wujud, kenapa tak dedah ‘titah tambahan’ sebelum ini, soal Bersih

Bersih persoal mengapa 'titah tambahan' berkaitan hukuman Najib Razak baru dibangkitkan.

Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan sebelum ini mengumumkan hukuman penjara dan denda yang dikenakan ke atas Najib Razak dikurangkan.
PETALING JAYA:
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mempersoalkan mengapa ‘titah tambahan’ berkaitan hukuman bekas perdana menteri Najib Razak tidak didedahkan sebelum ini, sekiranya wujud seperti yang didakwa peguam.

“Mengapa perkara ini baru dibangkitkan? Sekiranya wujud bahagian tambahan atau titah adendum bertarikh 29 Jan seperti yang didakwa beliau, mengapa perkara tersebut tidak didedahkan oleh peguam beliau sebelum ini?” kata jawatankuasa pemandu Bersih dalam kenyataan.

Mahkamah Tinggi menetapkan 17 April untuk mendengar permohonan Najib supaya kerajaan mendedahkan suatu ‘titah tambahan’ didakwa dibuat Yang di-Pertuan Agong terdahulu, yang membenarkan bekas perdana menteri itu menjalani hukuman penjaranya menerusi tahanan di rumah.

Najib mendakwa Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mengeluarkan titah itu semasa mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan pada 29 Jan.

Pada 2 Feb, lembaga itu mengumumkan hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalani Najib bagi kes SRC International dikurangkan kepada enam tahun, manakala denda RM210 juta diturunkan kepada RM50 juta.

Tidak ada mana-mana bahagian daripadanya yang menyebut ia ditukar kepada tahanan di rumah.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata beliau tiada maklumat dan tidak melihat berhubung “titah tambahan” untuk membenarkan Najib menjalani hukuman bawah tahanan rumah.

Menurut Bersih, hukuman tahanan rumah hanya boleh diberi kepada banduan yang terlibat dalam kesalahan kecil, iaitu yang menjalani hukuman penjara selama empat tahun dan ke bawah menerusi pelepasan banduan secara berlesen (PBSL).

Najib, yang sedang menjalani hukuman di penjara Kajang, dijadualkan dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.