
Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata mereka ditahan oleh pasukan khas, membabitkan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan Kuala Lumpur, dan Cawangan Khas.
“Mereka ditahan dalam serbuan ke atas beberapa premis di sekitar Johor dan ibu negara berdasarkan risikan, siasatan, dan maklumat yang diterima daripada orang awam,” katanya, menurut Berita Harian.
“Malah, ada tangkapan diperoleh dengan kerjasama hasil siasatan yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial berhubung aktiviti pembayaran wang kripto.”
Semua individu berkenaan ditahan reman selama tujuh hari, bermula semalam atau hari ini.
Penahanan terbaharu itu menjadikan jumlah individu yang ditahan dalam siasatan ini seramai 16 orang, setakat ini, menurut Razarudin.
Selain lelaki warga Israel yang merupakan suspek utama, antara yang ditahan ialah pasangan suami isteri warga tempatan yang dikatakan menjual senjata kepadanya, seorang lelaki warga tempatan yang berperanan sebagai pemandunya, dua warga Turki dan seorang warga Georgia.
Polis menahan warga Israel terbabit bersama enam pistol serta 200 butir peluru di sebuah hotel di Jalan Ampang, pada 27 Mac lalu.
Dia dikesan masuk ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12 Mac lalu, dengan menggunakan pasport Perancis.
BH melaporkan tangkapan berhubung pembayaran wang kripto itu dipercayai berdasarkan pembayaran senjata api antara suspek utama dan pasangan warga tempatan.