Tengku Zafrul letak jawatan, penganalisis tolak spekulasi perpecahan Umno Selangor

Tengku Zafrul letak jawatan, penganalisis tolak spekulasi perpecahan Umno Selangor

Mazlan Ali tolak spekulasi memandangkan Tengku Zafrul Aziz kekal ketua bahagian dan ahli MKT.

Walaupun meletak jawatan sebagai bendahari Umno Selangor, Tengku Zafrul Aziz kekal ketua bahagian Kota Raja dan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT).
PETALING JAYA:
Seorang penganalisis tidak melihat peletakan jawatan menteri persekutuan, Tengku Zafrul Aziz, sebagai bendahari menggambarkan adanya perpecahan dalam Umno Selangor.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia percaya peletakan jawatan itu bertitik-tolak daripada prestasi Umno Selangor.

Katanya, keputusan Tengku Zafrul untuk kekal sebagai ketua bahagian Kota Raja dan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) menunjukkan beliau tiada masalah untuk bekerja dengan kepimpinan Umno Selangor, yang diketuai Megat Zulkarnain Omardin.

“Tengku Zafrul sebagaimana disebut kekal sebagai ketua bahagian dan MKT cuma beliau memberi peluang dan ruang kepada orang lain untuk mengambil alih jawatan tersebut,” kata Mazlan kepada FMT.

Mengulas lanjut tentang isu prestasi Umno, penganalisis itu berkata “masalah” parti sebenarnya bukan tentang individu. “Walaupun presiden Umno ubah kepada kepimpinan baharu sekalipun itu belum menjamin untuk Umno kembali kepada prestasi sebelum 2008 di Selangor.”

“Kita tak sepatutnya menyalahkan Tengku Zafrul dan Tengku Zafrul menyalahkan diri sendiri kerana prestasi Umno ini bukan hanya di Selangor malah di Perlis, Kedah, Kelantan, dan Terengganu.”

Mazlan menambah prestasi Umno juga bukan tentang negeri semata-mata. “Umno sekarang berhadapan kemerosotan dan kemerosotan Umno bukan berlaku pada PRU lalu. Ia merosot sejak zaman Abdullah Ahmad Badawi.”

Beliau merujuk kepada keputusan PRU 2008 yang menyaksikan Barisan Nasional tewas di lima negeri dan kehilangan sokongan majoriti 2/3 di Dewan Rakyat. “Datang zaman Najib Razak tidak dapat meningkat prestasi…selepas PRU14 hingga PRU15 Umno lagi merosot.”

Mazlan berkata, peningkatan prestasi Perikatan Nasional adalah kerana ahli dan penyokong Umno beralih sokongan. “Peralihan lebih dari separuh akar umbi Umno pergi kepada PN menyebabkan PN menang banyak.”

Rusdi Omar dari Universiti Utara Malaysia tidak menolak kemungkinan adanya “perpecahan” dalam Umno Selangor, walaupun BN membentuk kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri.

“Kalau memerlukan rombakan semula maka perlu dibuat sekarang,” katanya kepada FMT.

Rusdi melihat hayat Umno bergantung kepada sokongan pengundi muda, malah parti itu berpotensi kehilangan kerusi Sungai Air Tawar dan Dusun Tua pada pilihan raya akan datang.

“BN atau Umno Selangor perlu diremajakan semula supaya memenuhi cita rasa anak muda…jika gagal diremajakan sukar Umno Selangor bangkit pada PRU akan datang.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.